Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum, saya ada pertanyaan. Baru-baru ini saya dah keluar dari rumah mertua, kerana anak²nya yg minta sy, suami dan anak-anak saya keluar kerana memganggu mental ibu bapanya. Sebelum ini ibu mertua saya terlantar saja dan tidak dapat bergerak melainkan dibantu. Anak saya dan suami saya yang banyak menguruskan ibu suami. Sekarang ni ibunya tu dah boleh berjalan semula dan mulalah anggap kami ni semakkan dia. Dia rasa tak aman masa kami ada. Jadinya bila saya keluar, sumai saya pun dah cakap, saya tak perlu tengok ibu nya lagi. Biar dia je yang tengok. Sebab hati saya dah sakit sangat dengan cara keluarga nya melayan saya dan anak-anak. Saya dah cuba hormat ibu bapanya. Tapi akhirnya semuanya tuduh kami ni teruklah, pemalas, tak kenang budi. Sedangkan masa kami duduk di rumah tu. Kami yang bayar duit rumah, api air, astro, internet. Hingga ke hari ini pun masih kami bayar separuh, walaupun kami dah keluar. Raya baru² ni pun suami saya tak bawa saya ke rumah ibu bapanya. Kemudian mereka buat fitnah, kata kami ada dalam kereta dan tak masuk dalam rumah. Sedangkan kami tak datang pun. Yang pergi cuma anak² kami 4 orang. Itupun sebab nak ambil kasut untuk anak no. 5 saya. Yang jadi isu sekarang, family suka masuk dalam group hingga di baca oleh suami² mereka. Adakah berdosa sekiranya saya tak balas pun apa yang mereka katakan. Suami saya melarang saya untuk berkata apa-apa. Dia minta saya diam je. Jadi adakah saya bersalah sekiranya tidak membalas. Apa yang perlu saya buat kerana difitnah begitu.
Jawapan
Dalam Islam, berbakti kepada ibu bapa mertua adalah sebahagian daripada menjaga silaturahim dan keharmonian rumah tangga. Namun, kewajipan ini tidaklah mutlak sehingga mengabaikan hak diri sendiri dan keluarga terdekat (suami dan anak-anak). Apabila berbakti itu mendatangkan kemudaratan yang besar kepada diri dan keluarga, maka ada ruang untuk menilai semula cara berbakti tersebut.
Segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada puan dan keluarga adalah perbuatan yang sangat dilarang dalam Islam. Allah berfirman dalam surah An Nur:23
إِنَّ الَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ لُعِنُوا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
" Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang suci dan tidak tahu menahu (tentang kejahatan), lagi beriman, mereka dilaknat di dunia dan di akhirat, dan bagi mereka azab yang besar."
Dalam situasi di mana puan difitnah dan suami puan melarang untuk membalas atau berkata apa-apa, tindakan berdiam diri adalah pilihan yang bijak dan tidak berdosa. Malah, ia boleh menjadi lebih baik untuk mengelakkan pertelingkahan yang lebih besar dan menjaga keharmonian, walaupun hati terasa sakit. Islam mengajar kita untuk sentiasa bersabar dan menyerahkan urusan kepada Allah SWT.
وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا
" Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu ialah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati, dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan". ( Al Furqan: 63)
Suami puan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi puan dan anak-anaknya. Keputusannya untuk tidak membenarkan puan membalas fitnah dan meminta puan berdiam diri adalah satu bentuk perlindungan. Dalam hal ini, puan wajib mentaati suami selagi ianya tidak bertentangan dengan syarak.
Untuk itu Islam mengajar kita untuk sentiasa bersabar dan berdoa dalam apa jua keadaan, kerana ia adalah senjata utama orang mukmin. Bersabar dengan ujian dan banyakkan berdoa agar Allah SWT memberikan kekuatan, keadilan, dan petunjuk. Dalam masa yang sama kewajipan kita untuk menjaga silaturahim (pada tahap yang munasabah). Walaupun puan telah keluar dari rumah mertua dan hati terluka, namun masih cuba untuk tidak memutuskan silaturahim sepenuhnya jika memungkinkan, terutamanya melalui suami dan anak-anak. Namun, jika ia mendatangkan kemudaratan yang berterusan, maka menjaga jarak adalah dibenarkan.
Tumpukan perhatian kepada kebahagiaan rumah tangga puan sendiri, suami, dan anak-anak. Bina suasana yang positif dan jauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan mental dan emosi. Terus berkomunikasi secara terbuka dengan suami puan mengenai apa yang terbuku dalam perasaan . Sokongan suami puan juga adalah sangat penting dalam menghadapi situasi ini.
Puan tidak berdosa sekiranya tidak membalas fitnah yang dilemparkan, terutamanya apabila suami puan melarangnya. Tindakan berdiam diri dan bersabar adalah selaras dengan ajaran Islam untuk mengelakkan pertelingkahan dan menjaga keharmonian.
Sekian, terima kasih.