Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya & suami sudah tidak tinggal serumah 3 bulan kerana saya menjaga mak saya yg bedridden. Suami baru lafaz cerai talak satu kpd saya di mahkamah shariah hulu langat. Soalan saya:
1. Saya sudah hampir 1 tahun pre-menopause. Ada kalanya 2-3 bulan tidak haid. Bagaimana kiraan tempoh iddah utk saya kerana 3x suci mungkin 6-12 bulan atau lebih (sbb mungkin terus menopause)?
2. Dalam tempoh iddah ini, boleh kah saya:
a) keluar berlari/exercise
b) menyertai larian (cth Selangor Marathon)
c) keluar berbuka puasa bersama rakan atau family
d) keluar membeli perabot & pakaian
e) keluar menyambut hari raya bersama rakan atau family
f) keluar makan bersama rakan atau family
Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:
1. Tempoh iddah bagi wanita yang belum mengalami menopause adalah mengikut kiraan iddah wanita yang mengalami haid iaitu sebanyak 3 kali suci. Oleh itu, sekalipun tempoh antara haid dengan haid yang lain itu lama atau di luar kebiasaannya, maka dia tetap perlu beriddah dengan 3 kali suci selagi mana dia masih berhaid.
2. Adapun pandangan dari mazhab Maliki, Hanbali dan Qaul Qadim Shafi'i pada situasi tidak mengetahui adakah sudah menopause ataupun belum, maka perlulah menunggu sembilan bulan. Jika dia tidak haid dalam tempoh itu, bermula beriddah selama tiga bulan. Maka iddahnya adalah setahun penuh. Sembilan bulan untuk menunggu dan tiga bulan untuk iddah.
(Rujuk islamweb)
3. Merujuk kepada situasi puan, jika berlarutan menunggu haid seterusnya sehingga 9 bulan atau lebih, maka rujuk no. (2).
4. Dalam tempoh iddah, wanita wajib menetap di rumah dan tidak boleh keluar melainkan untuk keperluan yang sangat mendesak seperti khawatir akan keselamatannya, bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, atau membeli keperluan asas. (Rujuk Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami)
Sekian, terima kasih.