Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, kebiasaannya semasa bersalaman dan minta maaf kepada ibu bapa di hari raya, orang duduk dengan lutut di lantai, apakah hukumnya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, perbuatan duduk dengan lutut di lantai (seperti bersimpuh atau berlutut) ketika bersalaman dan memohon maaf kepada ibu bapa pada hari raya adalah harus dan tidak bercanggah dengan syarak. Ia termasuk dalam amalan adat yang baik dalam masyarakat, selagi tidak melampaui batas seperti menyerupai sujud atau bentuk ibadah kepada selain Allah SWT.
Dalam Islam, kita dituntut supaya merendahkan diri dan berbuat baik kepada ibu bapa. Hal ini jelas sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 24:
Maksudnya: Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang, dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidikku ketika kecil.
Ayat ini menunjukkan bahawa merendahkan diri di hadapan ibu bapa adalah satu tuntutan syarak, dan perbuatan seperti duduk bersimpuh boleh termasuk dalam bentuk zahir kepada sikap tawaduk tersebut.
Selain itu, terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr bin al-As RA, Rasulullah SAW menekankan kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa. Sabda Baginda:
Maksudnya: Keredaan Allah terletak pada keredaan bapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan bapa. (Riwayat al-Tirmizi)
Berdasarkan dalil-dalil ini, jelas bahawa menzahirkan rasa hormat, kasih sayang dan merendahkan diri kepada ibu bapa adalah sangat dituntut dalam Islam. Oleh itu, perbuatan duduk berlutut ketika bersalaman dan memohon maaf boleh dianggap sebagai salah satu cara menzahirkan adab tersebut.
Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa Islam melarang perbuatan yang menyerupai ibadah khusus seperti rukuk atau sujud kepada selain Allah. Selagi perbuatan tersebut sekadar adat dan tidak sampai ke tahap demikian, maka hukumnya adalah harus.
Kesimpulannya, amalan duduk berlutut ketika bersalaman dengan ibu bapa adalah dibolehkan dan baik dari sudut adab, bahkan selari dengan tuntutan merendahkan diri kepada mereka, selagi tidak melampaui batas yang ditetapkan oleh syarak.
Sekian, terima kasih.