Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assallammualaikum Ustaz,
Saya telah membeli produk kesihatan melalui tiktok pada 10 Januari 2026, pembelian saya untuk 1 botol sahaja tetapi pihak penjual telah menghantar 3 botol bermakna saya telah menerima 2 botol tambahan tanpa bayaran. Saya telah hubungi pihak penjual serta merta dan respon yang diberi pada 20 Januari 2026 "Terima kasih kerana berhubung. Bagaimana saya boleh membantu anda hari ini?" selepas itu komunikasi menjadi tergantung sehingga ke hari ini walaupun saya tetap hantar mesege dari semasa ke semasa tetap tiada respon. Saya mohon cara yang bersesuaian yang patut saya buat apabila usaha saya tidak dipedulikan. Dari segi syarak bagaimana, saya tidak diberi maklumat seller untuk poskan semula, saya tidak diberi pilihan utk bayar 2 botol extra, sy tidak dibantu selesaikan masalah ini. Apa saya perlu buat, boleh gunakan atau buang sahaja. Tolong saya...jazakaullahu bi khair.
Jawapan
Hadis yang diriwayatkan oleh Kathir bin 'Amr bin 'Awf Al-Muzani daripada ayahnya daripada datuknya daripada Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: Dan kaum Muslimin harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati kecuali syarat yang mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram. (Riwayat al-Tirmizi)
Dan Daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat al-Bukhari)
Sebaiknya dapatkan alamat penjual dan poskan sahaja barang tersebut. Sekiranya ada kekangan kewangan dan masa untuk pos semula, maka ada baiknya tidak menggunakan barang tersebut sehinggalah pemilik mengizikannya.
Sekian, terima kasih