Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada upah kawan saya untuk belikan saham untuk saya. Saya berkata begini kepada beliau:-
"Tolong belikan saya saham XYZ sebanyak 100 unit. Saya tidak kisah akan berapa harga saham tersebut. Sekiranya awak berjaya belikan 100 unit saham tersebut, saya akan beri upah kepada awak sebanyak 2% daripada harga tersebut"
Soalan saya, adakah sah jual beli tersebut walaupun saya tidak tahu berapa harga yang kawan saya akan beli?
Jawapan
Merujuk kepada soalan, ia merupakan situasi melantik kawan sebagai wakil untuk membeli saham atau dipanggil akad wakalah. Wakil boleh melakukan transaksi bagi pihak pemberi kuasa dan boleh menerima upah (ujrah) jika dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Transaksi yang dibuat antara tuan dengan kawan bukan transaksi jual beli, tetapi adalah sebagai wakil. Jadi, akad wakalah sah walaupun tidak diketahui harga sebenar jual beli saham.
Sekian. Terima kasih.