Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
saya nak tanya, baru2 ni saya ada check lokasi husband saya menggunakan FINDHUB tracking, dan suami terima NOTIFIKASI di phone dia yang saya tengah pantau dia, balik je rumah, dia lafaz taklik mcm ni " KALAU KAU TEKAN/CLICK LAGI BENDA TU, UNTUK CHECK LOKASI AKU, JATUH TALAK) Husband sy sebut BENDA TU sebab dia tidak tau nama APPS yang saya guna tu, tapi saya sebagai isteri saya tahu itu adalah FINDHUB APPS yang akan bagi NOTIFIKASI kat suami, yang buatkan suami marah.. lepas suami saya LAFAZ TAKLIK tu, saya terus PADAM/DELETE APPS tu dari telefon saya..... tapi 4 hari selepas tu, saya ada check history lokasi dia di WAZE HISTORY di telefon dia sendiri, tanpa pengetahuan suami... tiba2 saya rasa was2 adakah dengan check WAZE history tu akan jatuh taklik pula, walaupon sifat WAZE history dan FINDHUB tak sama, FINDHUB tu LIVE tracking, WAZE history pula lokasi sejarah lepas yang beliau da pergi.... tapi ada was2 pula, dan saya tanya suami saya, dia kata apa2 la apps yang macam tu ... terus saya cuak pulak, masa gaduh mmg jelas dia sebut BENDA TU dan saya paham la BENDA TU apps FINDHUB yang saya click.... apa pendapat ya? adakah saya tak perlu risau sebab dah delete apps FINDHUB tu, ataupon saya patut risau sebab da tengok WAZE history di telefon dia. Harap ustaz dapat bagi penjelesan.untuk elakkan was2 ni... saya memang tak pernah click lagi FINDHUB tu sebab saya sudah delete, cuma check sejarah lokasi melalui WAZE di phone beliau sendiri... bukan LIVE tracking macam FINDHUB apps.HARAP SANGAT DAPAT BALAS, sebab saya yakin saya belum langgar lagi TAKLIK tu.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan:
Secara umumnya, sebarang penentuan hukum berkaitan talak atau perceraian, sama ada jatuh atau tidak, adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagai pihak berautoriti berdasarkan enakmen dan akta yang berkuat kuasa.
Namun begitu, dari sudut hukum syarak, lafaz taklik suami iaitu “kalau kau tekan/click lagi benda tu untuk check lokasi aku, jatuh talak” merupakan lafaz taklik yang terikat dengan maksud serta konteks ketika ia diucapkan. Perkataan “benda tu” walaupun bersifat umum, namun dalam situasi tersebut ia difahami merujuk kepada aplikasi FindHub (live tracking) yang menimbulkan notifikasi dan kemarahan suami pada waktu itu. Dalam kaedah hukum, lafaz yang umum ditafsirkan berdasarkan niat dan keadaan semasa lafaz itu dibuat.
Sehubungan itu, tindakan puan membuka Waze history tidak termasuk dalam maksud dan konteks lafaz taklik tersebut. Walaupun suami ada menyebut selepas itu “apa-apa apps yang macam tu”, namun dari sudut hukum, yang diambil kira ialah niat dan maksud ketika lafaz diucapkan, bukan penjelasan umum yang dibuat kemudian, khususnya jika ia dilafazkan dalam keadaan emosi atau tanpa penentuan yang jelas.
Walau bagaimanapun, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, lebih-lebih lagi jika timbul sebarang pertikaian berkaitan kefahaman lafaz dan maksudnya, maka pihak puan dan suami disarankan untuk merujuk ke Mahkamah Syariah berhampiran bagi tujuan pelaporan dan pengesahan dengan kadar segera, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sebagai nasihat bersama, dalam mengemudi rumahtangga hendaklah dihidupkan konsep syura iaitu berbincang dengan penuh hikmah, tenang dan saling menghormati, agar setiap salah faham dapat diselesaikan tanpa emosi yang meluap. Elakkan sama sekali menjadikan lafaz cerai, talak atau taklik sebagai senjata ketika marah, kerana kata-kata yang terlepas bukan sahaja melukakan hati, bahkan boleh memberi kesan hukum yang besar dan sukar diperbaiki.
Khususnya buat pihak suami, bertanggungjawablah dalam setiap tutur kata. Gunakan komunikasi yang jelas, matang dan berhemah tanpa mengaitkan talak dalam apa jua keadaan. Ingatlah, rumahtangga bukan medan untuk menguji kuasa atau melepaskan amarah, tetapi amanah yang perlu dipelihara dengan kebijaksanaan, kesabaran dan rasa takut kepada Allah. Kata yang baik menguatkan ikatan, manakala kata yang sembrono mampu meruntuhkannya dalam sekelip mata.
Sekian terima kasih