BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan,

Saya amat menghargai maklum balas pihak Tuan tentang pertanyaan saya sebelum ini berkaitan dengan urusan jual/beli atas talian melalui platform shopping online.

Untuk pertanyaan kali ini, saya ingin bertanyakan berkaitan tajuk yang sama pembelian atas talian melalui platform online dan jual semula kepada orang lain.

Sebelum saya terus ke pertanyaan saya, beri saya laluan untuk beri sedikit latar belakang pertanyaan ini.

Situasi:
1. Platform jual beli online ada membuat jualan murah setiap bulan. Sebagai contoh katil yang harga asalnya rm1000, pada hari jualan murah katil tersebut cuma rm100 Dan terhad untuk 1 unit saja. Siapa cepat dia dapat.

2. Dalam terma Dan syarat jualan murah yang dikeluarkan oleh platform berkenaan ada menyatakan;

"Buying with purpose for commercial selling is not allowed"

lebih kurang macam itu la ayatnya yang menyatakan pembelian barang jualan murah ini, tidak dibenarkan untuk "commercial selling".

Berdasarkan situasi, terma Dan syarat platform tersebut. Malik sebagai pengguna platform tersebut Cuba merebut katil yg berharga rm100 pada hari jualan murah berkenaan. Alhamdulillah, rezeki Malik berjaya mendapatkan barang tersebut dengan rm100. Lebih daripada 100 peserta yang lain tidak berjaya mendapatkan katil itu.

Disebabkan Malik sudah mempunyai katil yang mencukupi di rumahnya, Malik membuat keputusan untuk menjual katil kepada orang lain atau peserta yang tidak berjaya mendapatkan harga jualan murah tadi. Malik menjualnya dengan harga rm600 iaitu rm400 dibawah harga pasaran semasa. Jadi, Malik sudah berjaya mendapatkan untung sebanyak rm500 Dari penjualan tersebut.

Pada bulan berikutnya, Malik bersemangat untuk menyertai jualan murah tersebut lagi. Dengan keupayaan Dan keyakinan diri yang dimiliki oleh Malik, dia Masih memenangi jualan murah tersebut dengan harga rm100. Dan Malik turut menjual barang tersebut kepada orang lain atau peserta yang tidak berjaya. Malik Dan pembeli masing-masing telah bersetuju dengan harga yang dijual oleh Malik.

Setiap bulan, Malik akan menyertai jualan murah ini. Ada kala dia memenangi barang tersebut. Ada kala, Malik tidak berjaya kerana ada orang lain yang lebih pantas daripanya.

Persoalan saya:
Berdasarkan situasi Dan perbuatan Malik itu, adakah dia telah melanggar terma Dan syarat yang ditetapkan oleh platform tersebut? Kerana menjual semula barang yang telah dimenanginya. Jika telah melanggar terma Dan syarat, adakah barang tersebut tak boleh dijual sampai bila-bila?

Dari sudut hukum Islam, apakah hukum perbuatan Malik jika telah melanggar terma Dan syarat jualan tersebut? Adakah Salah Dan Haram jika Malik Cuba untuk dapatkan pendapatan sampingan berdasarkan keupayaan yang dimiliki oleh dirinya untuk merebut jualan murah tersebut dan jual semula kepada orang lain?

Untuk makluman pihak Tuan, Barangan yang dimenangi itu tiada terikat dengan apa-apa Kontrak bersama platform tersebut. Hadiah dimenangi itu adalah 100% milik Malik. Platform tersebut juga tidak ada menghubungi pemenang untuk sahkan sama ada barang tersebut Masih diguna sendiri atau telah dijual kepada orang lain.

Harap dapat pencerahan Dari pihak Tuan.

Terima kasih


message user image

Jawapan  

 

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Secara asasnya, Islam mengiktiraf kebebasan berakad dalam urusan muamalat selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip syarak. Setiap akad yang dimeterai, termasuk persetujuan terhadap terma dan syarat dalam platform digital, adalah mengikat pihak-pihak yang terlibat. Justeru, apabila seseorang bersetuju dengan syarat yang ditetapkan oleh platform, maka dia bertanggungjawab untuk mematuhinya sepanjang akad tersebut berjalan. Dalam konteks ini, syarat larangan membeli untuk tujuan jualan semula merupakan syarat yang tidak bercanggah dengan syarak, bahkan bertujuan menjaga keadilan dalam pengagihan peluang kepada pengguna lain.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 1:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada 'Amru bin Auf al-Muzani bahawa Rasulullah SAW bersabda:

المسلمونَ على شروطِهم إلَّا شرطًا حرَّم حلالًا أو أحلَّ حرامًا

Maksudnya: Orang Islam terikat dengan syarat-syarat mereka, kecuali syarat yang menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal.

Kedua-dua nas ini menjadi asas bahawa syarat yang sah dalam sesuatu akad wajib dipatuhi oleh setiap orang Islam. Oleh itu, syarat yang diletakkan oleh platform iaitu larangan membeli untuk tujuan jualan semula adalah satu syarat yang sah dan perlu dipatuhi.

dari sudut pemilikan barang pula, apabila sesuatu barangan telah berjaya dibeli dan sempurna pemindahan milik kepada pembeli, maka barangan tersebut menjadi hak milik sempurna pembeli. Pemilik berhak serta bebas menguruskan hartanya termasuk menjual semula kepada pihak lain atau menghadiahkannya. Oleh itu, dari sudut hukum pemilikan, menjual semula barangan yang telah dimiliki adalah harus dan tidak menjadi kesalahan dari sudut sah akad.

Namun begitu, perkara yang perlu diberi perhatian adalah niat dan cara seseorang berinteraksi dengan syarat tersebut. Sekiranya seseorang sejak awal lagi menyertai jualan murah dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan melalui jualan semula, sedangkan dia mengetahui adanya larangan yang jelas daripada pihak platform, maka perbuatannya itu menunjukkan sikap tidak mematuhi syarat dan boleh membawa kepada unsur khianat dalam akad. Walaupun secara zahir akad jual beli itu sah, namun dari sudut akhlak dan amanah, tindakan tersebut adalah tercela.

Kesimpulannya, hukum menjual semula barangan tersebut adalah harus dari sudut pemilikan dan sah dari segi akad. Akan tetapi, perbuatan sengaja melanggar syarat platform yang telah dipersetujui adalah tidak harus dan berdosa. Seorang Muslim dituntut bukan sahaja memastikan keabsahan sesuatu transaksi, bahkan turut menjaga amanah, kejujuran dan integriti dalam setiap urusan muamalat agar keuntungan yang diperoleh benar-benar diberkati.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.                                                                     


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 2

message user image