BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalammualaikum, Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Mufti Selangor kerana telah menyediakan platform seperti ini untuk bertanyakan soalan. Soalan saya adalah mengenai harta. Pada 2013, suami saya (pada ketika itu adalah tunang) telah membuat keputusan untuk membeli sebuah rumah untuk diduduki oleh keluarga suami saya kerana mereka tidak mempunyai tempat kediaman. Rumah tersebut dibeli atas nama perkongsian saya dan suami saya (pada ketika itu adalah tunang saya) atas sebab nama abang sulung suami saya telah disenarai hitamkan oleh pihak bank daripada membuat sebarang pinjaman. Suami saya juga telah membayar deposit sebanyak RM60K untuk rumah tersebut. Bayaran bulanan rumah itu dibayar secara perkongsian antara ayah suami saya (RM2K) dan suami saya (RM1K). Ayah suami saya hanya sempat membayar selama 3 tahun kerana telah meninggal pada October 2016. Kemudian, dari November 2016 hingga kini, bayaran rumah itu dibayar oleh suami saya (RM2K) dan abang suami saya (RM1.5K) kerana abang kepada suami saya tinggal di dalam rumah tersebut (1 bilik disewakan kepada abang suami saya). Sebelum itu, abang suami saya menyewa di luar pada kadar yang sama. Kemudian, ibu kepada suami saya mengarahkan untuk faraid kan rumah tersebut sedangkan rumah itu milik saya dan suami saya. Segala keperluan rumah ditanggung oleh saya dan suami saya termasuk bil elektrik yang mencecah RM300 setiap bulan. Adakah ibu kepada suami saya boleh berbuat demikian?


message user image

Jawapan  

Berdasarkan kepada penerangan puan, didapati tujuan asal pembelian rumah tersebut adalah untuk dijadikan kediaman utama bagi keluarga suami. Mereka hanya menggunakan nama puan dan suami sebagai cara untuk melayakkan pembelian rumah. Sebaiknya, perkara ini dijelaskan kedudukannya dengan keluarga suami agar tidak timbul permasalahan dikemudian hari. Dari segi pentadbirannya, rumah tersebut tidak boleh difaraidkan kerana nama pemilik rumah bukan nama arwah ayah suami, sebagaimana dalam dokumen perjanjian pembelian rumah, walaupun ada sumbangan/ bantuan ayah mertua terhadap bayaran bulanan. Antara cara lain yang boleh dilakukan ialah puan dan suami memulangkan semula bayaran bulanan yang telah dibuat oleh arwah ayah suami kepada ibu suami, jika ingin kepada plan faraid. Oleh kerana abang suami juga tinggal (menyewa bilik) dirumah yang sama, mungkin boleh dibuat satu dokumen perjanjian sewa agar tidak timbul masalah yang sama. Berkenaan keperluan yang ditanggung oleh puan dan suami seperti bil-bil, ia tidak menjadi masalah kerana puan dan suami juga turut sama menggunakannya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 163

message user image