BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Mufti, Ustaz, Ustazah

 

Saya ingin bertanya tentang hukum dalam situasi berikut:

 

Saya telah menjaga rumah dan tanah ibu bapa semasa mereka masih hidup selama 10 tahun. Semua kos penyelenggaraan, pembaikan, dan tenaga kerja adalah ditanggung oleh saya seorang, tanpa bantuan adik-beradik lain.

 

Sejak awal, saya tidak pernah berniat menjadikan penjagaan ini sebagai tabarru’ (sedekah) atau kerja percuma. Saya hanya tidak menuntut bayaran ketika itu kerana ibu bapa masih hidup.

 

Selepas ibu bapa meninggal dunia, harta dibahagi secara faraid. Saya kemudian menuntut kos dan tenaga yang telah saya keluarkan, berdasarkan konsep ujrah, dan meminta supaya ia dibahagikan secara sama rata antara waris.

Namun, adik-beradik saya menolak untuk membayar dengan alasan tiada perjanjian bertulis atau resit.

Soalan saya:

              1.           Dari sudut hukum syarak, adakah halal bagi mereka menolak untuk membayar sedangkan mereka tahu saya telah menanggung semua kos dan tenaga menjaga harta pusaka selama 10 tahun?

              2.           Adakah halal bagi saya menuntut bayaran walaupun tiada perjanjian bertulis, tetapi sejak awal saya tidak pernah berniat menjadikannya sebagai tabarru’?

 

Mohon pencerahan dari pihak Mufti.

 

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:

  1. Dari sudut hukum syarak, ya, pihak waris yang lain halal menolak untuk membayar kos-kos penyelenggaraan, pembaikan, dan tenaga kerja rumah pusaka yang telah didahulukan oleh puan atas kerelaan sendiri tanpa perjanjian awal melainkan mendapat persetujuan bersama dengan waris yang lain. Hal ini kerana ianya dianggap sedekah atau sumbangan secara sukarela iaitu tabarru' melainkan waris yang hendak menuntut kos tersebut ada bukti mahupun saksi bahawa ianya adalah hutang arwah.
  2. Ya, halal bagi puan untuk menuntut bayaran kos-kos penyelenggaran rumah pusaka tersebut walaupun tiada perjanjian bertulis sekiranya ianya diakui oleh waris lain. Namun, waris yang lain tidak wajib membayar, melainkan mendapat persetujuan bersama. Hal ini kerana, kegagalan mengemukakan resit penyelenggaraan rumah pusaka menyebabkan ianya sukar dituntut kembali daripada harta pusaka. Waris yang mengeluarkan belanja dianggap melakukan tabarru' melainkan ada saksi atau persetujuan bersama sebelum ini. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 8

message user image