Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalam tuan, saya bekerja makan gaji, masuk kerja jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, saya kerap mengambil anak di sekolah jam 12.30 hampir setiap hari, masuk kerja petang paling awal 2.20 petang selepas hantar anak sekolah agama, selalu keluar awal solat asar dalam jam 4.30 ptg, soalan saya apa kah hukum saya guna masa tersebut untuk urusan peribadi sedangkan saya di bayar gaji penuh dari pukul 8 pagi - 5 petang. dan apakah yang harus saya buat untuk ganti masa yg saya ambil, kerana sejak kebelakangan ini anak-anak saya agak tidak mendengar cakap, mungkin gaji saya tidak berkat. mohon pencerahan dari pihak tuan..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, 1. Hukumnya harus dengan syarat mendapat kebenaran daripada majikan tempat bertugas dengan membuat permohonan kebenaran keluar pejabat atas urusan peribadi yang diperuntukkan kepada pekerja. Pilih pilihan waktu kerja yang lebih awal, dan lewatkan masa balik supaya cukup jam bekerja. 2. Antara cara yang boleh dilakukan ialah : i. Usahakan agar mengambil dan menghantar anak ke sekolah menggunakan khidmat van/ bas sekolah/ khidmat transit di pusat-pusat asuhan/ ahli keluarga. ii. Tidak membuat tuntutan jika majikan memerlukan tuan bekerja lebih masa. iii. Niat bekerja itu sebagai satu ibadah dan tanggungjawab, jika ada kekurangannya, tingkatkan diri dengan berusaha memperbaikinya dan meningkatkan kualiti kerja. iv. Gaji bulanan yang diterima disedekah/ zakat agar beroleh keberkatan, sebagaimana firman Allah SWT: خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ Maksudnya : “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (at-Taubah : 103) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.