Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamulaikum, saya ingin bertanya berkaitan puasa pada bulan ramadhan. Jika seseorang itu datang haid lebih dari 14 hari, adakah dia perlu ganti puasa untuk hari ke 15 dan seterusnya sehingga suci juga?
Jawapan
Merujuk persoalan yang diajukan, secara asasnya tempoh maksimum haid ialah 15 hari. Wanita istihadhah ialah apabila darah keluar melepasi tempoh sebanyak-banyak haid (15 hari 15 malam) kemudian bersambung sehingga hari ke-16 atau lebih. Jika darah hari 15 bersambung dengan darah hari ke 16 ini bererti darah haid telah bercampur dengan darah istihadhah.
Untuk mengetahui yang manakah darah haid dan yang manakah darah istihadhah, terdapat (2) dua cara penyelesaian yang boleh dibuat:-
Kaedah Tamyiz (Perbezaan Darah)
1. Jika dapat dibezakan darah-darah yang datang itu seperti ada darah yang kuat (iaitu warna gelap, likat atau berbau - contoh seperti warna merah gelap) dan ada darah yang lemah (berwarna terang seperti warna merah muda), maka hendaklah menjadikan darah yang kuat itu sahaja sebagai darah haid. Manakala darah yang lemah dijadikan sebagai darah istihadhah. Tetapi penyelesaian ini perlukan rekod yang jelas bagi bentuk-bentuk darah yang keluar setiap hari. Jika keliru dan tidak jelas atau tidak tahu membezakan bentuk-bentuk darah yang keluar, maka penyelesaian cara yang kedua boleh dilakukan iaitu:
Kaedah Adat Kebiasaan
2. Kaedah adat boleh digunakan apabila warna darah tidak dapat dibezakan. Jika kebiasaan haidnya 7 hari dan sucinya 24 hari sebelum terjadinya gejala ini anggaplah haidnya pada kali ini juga 7 hari dan 24 hari adalah suci. Jika gejala ini masih berterusan hingga bulan seterusnya maka darah yang keluar pada bulan seterusnya boleh mengikut adat haid seperti yang dinyatakan.
Kesimpulannya, setelah dapat ditentukan sama ada darah yang keluar melebihi 15 hari itu merupakan darah haid atau darah istihadhah, maka jika darah tersebut dikategorikan sebagai haid, wanita tersebut perlu mengganti puasa yang ditinggalkan tanpa perlu mengganti solat yang tidak didirikan.
Namun sekiranya darah itu dikategorikan sebagai darah istihadhah, dan dia tidak puasa serta solat pada tempoh itu, maka puasa dan solatnya hendaklah diganti.
Sekian, terima kasih.