Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Subjek: Pertanyaan Mengenai Status Perjanjian Pranikah (Prenuptial Agreement) Menurut Syarak bagi Pasangan Muslim di Eropah
Assalamualaikum Ustaz/Ustazah,
Saya mempunyai beberapa persoalan bagi tujuan kefahaman sebelum mendirikan rumah tangga. Saya bakal berkahwin dengan seorang mualaf dari Eropah (bekas penganut Kristian Ortodoks). Alhamdulillah, beliau sudah memahami asas agama Islam dengan baik.
Namun, saya memerlukan penjelasan lanjut mengenai pengurusan harta memandangkan kami akan menetap di Eropah, di mana ketiadaan sistem Mahkamah Syariah atau peguam syarie boleh merumitkan keadaan jika berlaku perceraian atau kematian.
Soalan 1: Adakah "Prenuptial Agreement" (Perjanjian Pranikah) sah di sisi Islam?
Tujuan utama perjanjian ini adalah untuk melindungi aset dan harta yang dimiliki sebelum berkahwin. Hal ini kerana:
Sistem Perundangan Tempatan: Di sesetengah negara Eropah, sistem pembahagian harta semasa perceraian boleh menjadi tidak adil dan berat sebelah, sehingga mampu menyebabkan satu pihak hilang punca pendapatan atau kehilangan hak penjagaan anak.
Perlindungan Harta Pusaka: Terdapat keperluan untuk melindungi aset warisan keluarga agar tidak terjejas akibat tuntutan sivil.
Ketentuan Syariah: Saya ingin memasukkan klausa bahawa sekiranya berlaku kematian, pembahagian harta hendaklah dilaksanakan mengikut hukum Faraid, bukannya undang-undang sivil negara tersebut.
Soalan 2: Bagaimanakah kedudukan hak penjagaan dan status agama anak-anak sekiranya berlaku perceraian di negara bukan Islam?
Saya bimbang jika undang-undang sivil di Eropah tidak memihak kepada didikan Islam anak-anak sekiranya berlaku perpisahan. Adakah dibenarkan dalam Islam untuk saya memasukkan terma mengenai hak penjagaan anak (Hadanah) dan pengekalan agama Islam anak-anak di dalam "Prenuptial Agreement" tersebut supaya ia mempunyai kekuatan undang-undang di mahkamah sivil sana?
Soalan 3: Adakah terma mengenai penetapan kadar nafkah atau pembahagian tugas domestik boleh dimasukkan dalam perjanjian bertulis tersebut?
Di Eropah, kos sara hidup adalah tinggi dan budaya perkongsian kos adalah norma. Adakah Islam membenarkan kita membuat perjanjian bertulis mengenai kadar nafkah atau persetujuan bersama mengenai harta yang dibeli bersama selepas kahwin, bagi mengelakkan pertikaian di mahkamah sivil yang mungkin menggunakan prinsip "50/50" (Community Property) yang kadangkala bercanggah dengan sumbangan sebenar pihak-pihak?
Mohon pencerahan pihak Ustaz/Ustazah mengenai kedudukan perjanjian sebegini dalam kerangka Islam. Terima kasih.
Jawapan
Berkenaan persoalan yang diajukan, Perjanjian Pranikah (Prenuptial Agreement) adalah diiktiraf oleh para ulama. Diriwayatkan daripada 'Uqbah bin 'Amir ra. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Syarat yang paling utama ditunaikan ialah syarat yang dibuat dalam perkahwinan yang mana dengannya hubungan suami isteri menjadi halal. (Riwayat al-Bukhari)
Umumnya, terdapat dua jenis syarat pranikah; pertama ialah syarat yang selari dengan ketetapan syarat dalam akad nikah. Kedua ialah syarat tambahan yang tidak ditetapkan syarak dalam akad nikah dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
1. Perjanjian Pranikah (Prenuptial Agreement) adalah sah di sisi Islam selagi mana syarat yang dinyatakan tidak bercanggah dengan Islam seperti melarang daripada memberi nafkah dan seumpamanya. Penyataan klausa bahawa sekiranya berlaku kematian, pembahagian harta hendaklah dilaksanakan mengikut hukum faraid dan bukannya undang-undang sivil negara tersebut adalah diiktiraf syarak. Maka syarat tersebut adalah sah dari sudut hukum fekah.
2. Memasukkan terma mengenai hak penjagaan anak (Hadanah) dan pengekalan agama Islam anak-anak di dalam "Prenuptial Agreement" adalah sah dan dibenarkan.
3. Penetapan kadar nafkah atau pembahagian tugas domestik boleh dimasukkan dalam perjanjian bertulis tersebut sekiranya terdapat persetujuan antara kedua-dua pihak.
Sekian, terima kasih.