BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

saya nak tanya mengenai mandi wajib menggunakan air lebihan di dalam baldi. Saya sering mandi wajib menggunakan air dalam baldi tersebut. Bilik air tersebut dikongsi dengan beberapa orang dalam 1 rumah. kemusykilan timbul sah ke mandi wajib saya kerana saya tidak tahu sama ada air di dalam baldi tersebut ade percikan sabun / air yang mereka gunakan semasa mandi. Tetapi sepanjang mandi wajib saya akan membuka paip air untuk menambah air ke dalam baldi. Cuma jika ade lebihan saya tak buang. terus pasang paip air dan guna. Kalau tak sah apa perlu saya buat dengan semua ibadah saya solay, puasa dan umrah?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Sebelum kami menjawab persoalan, ingin  diperjelaskan bahawa, air mustakmal adalah air mutlak yang telah digunakan dengan niat mengangkat hadas sama ada kecil atau besar. Dalam perkara ini, hanya baki  basuhan pertama  yang telah digunakan untuk mengangkat hadas sahaja  yang dianggap sebagai air mustakmal, manakala  baki air  basuhan yang seterusnya  tidak menjadi  mustakmal kerana hadas telahpun terangkat.

Contoh apabila saudari telah meratakan air ke seluruh badan secara sempurna, maka hadas telah pun terangkat dan baki basuhan tersebut adalah air mustakmal. Kemudian jika saudari masih meneruskan mandi untuk basuhan seterusnya, maka baki air basuhan tidak dikira mustakmal.

Merujuk soalan yang diajukan,

1. Mandi wajib yang telah dilakukan menggunakan air lebihan dalam baldi adalah sah selagi air tersebut kekal dalam keadaan suci dan tidak berubah sifatnya seperti warna, bau atau rasa akibat najis. 

2. Air percikan daripada basuhan mana-mana anggota wajib wuduk tidak menyebabkan air di dalam baldi yang kurang dari 2 kolah berubah menjadi musta`mal kerana kuantiti percikan air tersebut adalah sedikit yang tidak mengubah sifat air serta sukar dijaga pada kebiasaannya, maka ianya dimaafkan dan air dalam baldi itu kekal menjadi air mutlak.

Dalam situasi yang dinyatakan, keraguan tentang kemungkinan percikan sabun atau air mandian orang lain tidak menjejaskan kesucian air kerana ia hanya bersifat sangkaan semata-mata.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 3

message user image