Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Jika daging babi telah dimasak dan dimakan oleh orang bukan muslim..selepas makan dia hanya mencuci tangan dan jemari nya hingga bersih..lalu ia pergi ke tempat lain dan memegang barangan yang ada mengguna kan tangan dan jemari yang dia telah menyentuh dan makan daging babi sebelum itu..bagai mana hukum seseoranag muslim yang lain pula yang terpegang barangan tersebut?adakah perlu di sertu atau pun tidak
Jawapan
Dalam Islam, daging babi dianggap sebagai najis mughallazah (najis berat). Ini bermakna ia memerlukan kaedah penyucian khusus jika bersentuhan dengannya. Majoriti ulama dari mazhab Hanafi, Syafie, dan Hanbali bersepakat bahawa babi adalah najis secara zatnya (najis 'ain), termasuk daging, tulang, kulit, dan semua bahagiannya, serta apa sahaja yang terpisah daripadanya seperti peluh, air liur dan maninya.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, Ya, barangan tersebut perlu disucikan dengan cara sertu jika seorang Muslim terpegang barangan itu dan yakin atau ada bukti jelas bahawa najis babi telah berpindah kepadanya. Ini kerana babi dianggap najis mughallazah (berat) dalam Islam dan penyuciannya memerlukan basuhan tujuh kali, salah satunya dengan air bercampur tanah, menurut pandangan mazhab Syafie dan Hanbali. Jika tiada kesan najis yang jelas atau keraguan tentang pemindahan najis, maka tidak wajib sertu, tetapi disunatkan untuk membasuh dengan air biasa.
Sekian, terima kasih.