Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT,
Apakah hukum memberhentikan ibadah wajib tanpa dihabiskan contohnya melakukan saie dua pusingan tetapi niat berhenti dan mengulanginya semula kerana penyakit was was yang kronik menyebabkan sering rasa pusingan yang telah dilakukan tidak betul atau tidak sempurna. Kemudian mengulangi semula pusingan saie yang baru dari awal dengan niat baru sehingga tamat 7 pusingan. Adakah ibadah saie ini sah dan adakah saya berdosa dalam keadaan ini kerana terperangkap dengan was was yang teruk ini? saya sangat risau kerana setelah yakin dengan niat dan pusingan baru kini saya kembali was was adakah sebenarnya ibadah tersebut sah? Saya sedang berusaha keras menentang gangguan syaitan ini... meskipun begitu berat ujian ini buat saya. mohon doakan saya...
Jawapan
Semoga puan berada dalam rahmat Allah SWT sentiasa. Gangguan waswas adalah satu ujian yang berat, dan Islam memberikan kelonggaran serta panduan bagi mereka yang mengalaminya. Dalam konteks ibadah, khususnya ibadah wajib seperti saie, hukumnya berbeza bagi orang yang mengalami waswas yang kronik berbanding orang biasa.
Waswas merujuk kepada bisikan syaitan atau keraguan yang berlebihan dalam hati seseorang, terutamanya dalam hal ibadah. Bagi individu yang mengalami waswas kronik (muswaswas), keraguan ini menjadi kebiasaan dan seringkali menyebabkan mereka mengulang-ulang perbuatan atau niat sehingga menimbulkan kesukaran yang melampau. Dalam persoalan ini perlu difahami bahawa adalah tidak disyaratkan pada saie untuk dikerjakan tujuh pusingan berturut-turut tanpa berhenti. Jika seseorang berhenti di pertengahan saie, maka ia tidak membatalkan saie tersebut. Akan tetapi, jika seseorang berniat untuk berhenti saie ketika di pertengahan, maka dia perlu bermula dari awal, iaitu bermula dari Safa dan berakhir dengan Marwah sebanyak tujuh pusingan.
Saie yang dikerjakan adalah sah dan puan tidak berdosa dalam hal ini. Waswas yang datang selepas yakin dengan ibadah yang dikerjakan tidak memberi sebarang kesan kepada ibadah tersebut. Adalah digalakkan untuk puan memperbanyak isti'azah, membaca tiga qul, dan mengabaikan sebolehnya waswas yang datang tanpa perlu memberi sikit perhatian pun terhadap waswas tersebut.
Sekian, terima kasih.