Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz/Ustazah. Saya nak bertanya tentang hak saya untuk memilih tidak berkahwin. Saya perempuan usia lewat 30an. Banyak terima pertanyaan dan teguran tentang jodoh dan status kawin dikalangan keluarga termasuk ibu.
Saya memilih utk tidak berkahwin buat masa sekarang sebab saya rasa keperluan saya cukup, ada kerja, ada bisnes, serba cukup untuk sara diri sendiri di masa kini dan Insyallah masa akan datang. Malah saya juga tidak rasa bersedia untuk pikul tanggungjawab yang berat dan juga trauma dgn penceraian yang pernah terjadi dalam keluarga saya sendiri. Adapun dengan keadaan ekonomi sekarang dan banyak pasangan bercerai juga memberi impak kepada keyakinan utk saya mendirikan rumahtangga. Saya seorang yang memegang teguh pada agama, saya tegas daan tidak sama sekali melakukan zina dan maksiat atau apa kearahnya.
Soalan sy, adakah saya melanggar hukum syarak? Adakah saya anak derhaka sekiranya saya bertegas dgn pendirian saya? Apakah hak saya?
Sekian terima kasih
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, hukum nikah bagi seseorang yang tidak mengingininya di sisi mazhab Syafi'i adalah makruh. Disebutkan dalam Mughni al-Muhtaj (4/205):
Maksudnya: Hukum makruh tersebut dikenakan kepada orang yang perkahwinannya sah, jika dilakukan tanpa keperluan.
Seseorang anak yang tidak sependapat dengan ibu bapa dalam hal yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam tidak dianggap sebagai anak derhaka. Perbuatan derhaka berlaku apabila anak tidak sependapat dengan ibu bapa dan membantah kata-kata mereka dengan tidak beradab kerana ia boleh menyakiti mereka. Bahkan Luqman al-Hakim pernah menasihati anaknya untuk sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa walaupun mereka menyeru kepada perbuatan syirik yang dimurkai oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Luqman, ayat 15:
Maksudnya: Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.
Puan boleh untuk berkahwin atau tidak serta memilih calon yang sesuai jika ada. Perlu diketahui juga bahawa realitinya pasangan yang berkahwin dan tidak bercerai juga ramai, namun mereka tidak berkongsi kehidupan perkahwinan mereka dengan orang ramai.
Apapun Nabi SAW menyuruh untuk berkahwin jika berkemampuan zahir dan batin, jika tidak, maka berpuasalah. Maknanya jika berkahwin hendaklah bertaqwa dan tidak berkahwin pun hendaklah bertaqwa iaitu melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah.
Sekian, terima kasih.