Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asslamualaikum Dato Mufti
Saya ada mendengar seorang ustaz mengatakan bahawa orang yang menghidap masalah kencing tidak lawas terbahagi kepada dua jenis:
Kencing tidak lawas secara berterusan (tidak berhenti langsung).
Kencing tidak lawas yang boleh berhenti, contohnya berhenti menitis selepas satu jam. Dalam keadaan saya, ia berhenti selepas kira-kira 40 minit.
Bagi orang yang berada dalam kategori kedua, bagaimana cara dia menunaikan solat fardu? Adakah dia perlu menunggu sehingga titisan itu benar-benar berhenti, atau bolehkah dia mengambil rukhsah seperti orang dalam kategori pertama, iaitu meletakkan kapas, mengambil wuduk, dan terus menunaikan solat?
Adakah kaedah ini juga terpakai jika dia ingin solat berjemaah? Bolehkah orang dalam keadaan seperti ini menjadi imam?
Akhir sekali, bagaimana pula jika dia ingin menunaikan umrah, sedangkan tawaf memerlukan wuduk yang sah?
Jazakallah khair, Dato Mufti
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, kencing tidak lawas hukumnya adalah sama seperti hukum wanita istihadah. Kencing tidak lawas secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua;
1. Tidak lawas secara berterusan atau berhenti seketika dalam waktu yang terlalu singkat.
Syarat bersuci bagi orang yang mengalami hadas berpanjangan adalah:
Solat sah bagi satu solat fardhu dan beberapa ibadah sunat.
2. Tidak lawas yang akan berhenti bagi suatu tempoh yang memadai untuk melakukan ibadah seperti solat atau tawaf.
Syarat bersuci bagi orang yang mengalami hadas tidak berpanjangan adalah dengan menunggu waktu boleh menunaikan solat secara sempurna.
Situasi yang dinyatakan dalam persoalan ini merujuk kepada kategori kedua. Bagi kategori ini, tuan tidak mendapat rukhsah seperti orang yang berada dalam kategori pertama. Tuan perlu menunggu sehingga titisan itu benar-benar berhenti, kemudian tuan boleh mengambil wuduk dan menunaikan solat. Begitu juga ketika mengerjakan umrah, tuan perlu mengambil wuduk selepas titisan itu berhenti.
Situasi ini dikiaskan dengan situasi wanita yang mengalami istihadhah (darah penyakit bukan haid atau nifas). Disebutkan dalam Mughni al-Muhtaj (1/283):
Maksudnya: Sekiranya darahnya terhenti selepas berwuduk, atau ketika berwuduk dan sebelum solat, atau ketika solat, dan dia tidak mempunyai kebiasaan darah itu terhenti dan kembali semula, serta tidak diberitahu oleh orang yang dipercayai lagi mengetahui bahawa darah itu akan kembali, atau dia mempunyai kebiasaan demikian, atau diberitahu oleh orang yang disebutkan bahawa darah itu akan kembali, dan tempoh terhentinya darah mencukupi menurut kebiasaan atau berdasarkan makluman tersebut untuk berwuduk dan menunaikan solat, maka dia wajib berwuduk semula serta membersihkan darah yang terdapat pada faraj. Adapun bagi situasi pertama, hal demikian kerana terdapat kemungkinan sembuh, dan hukum asalnya ialah darah itu tidak kembali. Manakala dalam keadaan kedua pula, kerana adanya kemungkinan untuk menunaikan solat dengan sempurna dalam waktunya. Sekiranya dia menyanggahi (tidak berwuduk semula) dan tetap menunaikan solat tanpa berwuduk, maka solatnya tidak sah, sama ada tempoh terhentinya darah itu berpanjangan ataupun tidak.
Mengikut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi'i, orang yang menghidap kencing tidak lawas boleh menjadi imam solat dan sah solatnya sebagai imam. Disebutkan dalam Minhaj al-Talibin (ms39):
Maksudnya: Mengikut pandangan asah, sah orang yang sihat (tiada hadas berterusan) berimamkan orang yang mengalami hadas berterusan (seperti kencing tidak lawas).
Sekian, terima kasih.