BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Ibubapa saya bercerai sejak kecil, saya dibesarkan sepenuhnya oleh ibu. Bapa saya tidak pernah beri nafkah untuk menyara saya setelah mereka bercerai. Saya kini sudah berkerja & menyara ibu.

1. Adakah berdosa jika saya tidak memberi wang saku yang sama nilai (dengan wang saku saya beri ibu) untuk bapa saya?

2. Adakah saya wajib beri wang saku setiap bulan kepada bapa saya juga?

3. Saya menabung untuk ibu saya pergi Umrah, tapi ibu tolak kerana dia sudah tunaikan haji & minta saya tanggung bapa saya pula untuk menunaikan umrah kali pertama. Adakah saya wajib tanggung ibadah umrah atau haji bapa saya?

*bapa saya sudah mempunyai isteri & 3 lagi anak dewasa yang sudah berkerja.

*ibu hanya ada 1 anak(saya) untuk menyara dia bulanan


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Nafkah kepada ibu bapa menjadi wajib apabila mereka miskin dan anak seorang yang berharta. Jawapan bagi persoalan yang diajukan adalah seperti berikut:

1. Jika ibu bapa puan tidak termasuk dalam golongan fakir miskin, maka tidak diwajibkan ke atas puan untuk memberi nafkah kepada mereka. Namun sekiranya puan memilih untuk menanggungnya maka ia termasuk dalam perkara melakukan kebaikan kepada ibu bapa yang dianjurkan dalam Islam. Sekiranya begitu, maka tiada masalah jika pemberian antara kedua ibu bapa puan berbeza jumlahnya.

Adapun jika ibu bapa puan termasuk dalam kategori fakir miskin, maka kadar wajib yang perlu diberikan adalah bayaran yang boleh menampung perbelanjaan sehingga mampu menampung keperluan asas mereka. Dalam mazhab Syafi'i, ibu mendahului bapa dalam turutan penerima nafkah. Disebutkan dalam Syarah al-Yaqut an-Nafis karangan Muhammad bin Ahmad as-Syatiri (674):

وفي ترتيب النفقة يبدأ الإنسان بنفسه أولاً وزوجته ، ثم خادمها ، ثم الابن الصغير ، ثم الأم ، ثم الأب - عكس إخراج الفطرة ؛ فيقدم الأب على الأم - ثم الابن الكبير.

Maksudnya: Dalam susunan pemberian nafkah, seseorang itu memulakan dengan dirinya sendiri terlebih dahulu, kemudian isterinya, kemudian pembantu isterinya, kemudian anak kecil, kemudian ibu, kemudian bapa — berbeza dengan pengeluaran zakat fitrah; di mana didahulukan bapa daripada ibu — kemudian anak yang telah besar.

2. Puan wajib memberi wang saku kepada bapa puan sekiranya beliau termasuk dalam kategori fakir miskin dengan kadar yang telah dinyatakan.

3. Puan tidak wajib menanggung ibadah umrah atau haji bagi bapa puan. Namun sekiranya puan memilih untuk menanggungnya maka ia termasuk dalam perkara melakukan kebaikan kepada ibu bapa yang dianjurkan dalam Islam.

Melalukan kebaikan kepada kedua ibu dan bapa tetap dituntut dalam Islam tanpa mengambil kira sama ada mereka melaksanakan tanggungjawab dengan baik atau sebaliknya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 18

message user image