BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, nak tanya berkaitan sumpah.

1. Apakah hukumnya jika seseorang bersumpah tanpa disebutkan nama Allah, dalam situasi begini "sumpah, sedap sangat makanan ni". 

2. Dulu saya pernah menipu dan sumpah yang saya dah solat, sedangkan saya tak solat lagi masa tu. Adakah saya perlu membayar kaffarah?

3. Adakah jika kita berniat janji dengan Allah untuk tinggalkan onani, dikira sumpah atau nazar juga?. Dan bagaimana jika kita melanggar janji tersebut? Adakah perlu bayar kaffarah?

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Sumpah secara umumnya perbuatan yang diiktiraf syarak jika memenuhi rukun dan syaratnya. Antara rukun yang perlu ada dalam sesuatu sumpah ialah lafaz sumpah yang disertakan dengan nama Allah SWT, sifat-Nya atau apa yang berkaitan dengan-Nya seperti yang disebutkan oleh para ulama, dan perlu disertakan dengan niat sumpah.

Jawapan bagi persoalan yang diajukan adalah seperti berikut:

1. Perbuatan tersebut tidak dianggap sebagai sumpah kerana tidak memenuhi rukunnya seperti yang disebutkan.

2. Sumpah ini dinamakan sebagai sumpah ghamus, iaitu seseorang bersumpah dusta bagi sesuatu yang sudah berlalu dengan sengaja. Tiada kaffarah dikenakan bagi sumpah ini walaupu memenuhi rukun syarat sumpah. Namun begitu, sumpah seperti ini perlu dijauhi sama sekali. Disebutkan dalam Mukhtasar Tuhfat al-Muhtaj (4/356): 

لا تنعقد اليمين ‌الغموس وهي أن يحلف على ماض كاذبا عامدا

Maksudnya: Sumpah ghamus tidak sah (tidak dianggap sebagai sumpah yang mengikat), iaitu seseorang bersumpah atas perkara yang telah berlaku dengan dusta secara sengaja.

3. Berjanji dengan Allah untuk tidak melakukan onani boleh dianggap sebagai sumpah jika memenuhi syarat-syaratnya.Jika sumpah tersebut tidak dipenuhi, maka kaffarahnya ialah membebaskan hamba, atau memberi makanan asasi kepada 10 orang miskin, atau memberi pakaian kepada 10 orang miskin, jika tidak mampu maka perlu berpuasa tiga hari. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 11

message user image