Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam saya nak tanya,
Period sy berterusan selama beberapa bulan tanpa henti. kadang2 banyak & kadang2 sikit. Adakah ianya dikira sebagai istihadah?
Jawapan
Seseorang yang mengalami darah yang keluar melebihi 15 hari 15 malam dan berturut-turut selama beberapa bulan menunjukkan bahawa darah yang keluar tersebut berlaku percampuran antara darah haid dan darah istihadhah. Tidak kesemuanya adalah darah istihadhah mahupun darah haid. Jadi, untuk menentukan perbezaan darah tersebut, ia boleh dibezakan dengan dua kaedah tersebut:
Kaedah Tamyiz: iaitu dengan membezakan jenis darah yang keluar sama ada darah kuat atau darah lemah. Darah kuat dianggap sebagai haid manakala darah lemah dianggap sebagai darah istihadhah. Sebagai contoh: Darah kuat iaitu hitam pekat atau merah pekat keluar selama 8 hari manakala darah merah lemah, coklat atau kekuningan keluar selama 23 hari. Maka 8 hari tersebut merupakan darah haid dan 23 hari tersebut adalah darah istihadhah atau suci.
Kaedat adat: Iatu mengikut adat kebiasaan haidnya sebelum keadaan haid berterusan berlaku. Jika kebiasaan haidnya 7 hari, dan 24 hari adalah suci, maka darah yang keluar pada bulan seterusnya boleh mengikut adat haid bulan sebelumnya.
Apabila perbezaan tersebut dapat dikenalpasti, puan boleh menentukan antara darah haid dan istihadhah untuk melakukan tindakan selanjutnya seperti waktu yang dikehendaki untuk mandi wajib apabila hendak menunaikan solat dan ibadah lain yang bukan larangan bagi wanita yang sedang berhaid. Bagi mengenalpasti hari yang tepat bagi menentukan haid atau istihadhah, puan disarankan menghubungi pihak Jabatan bagi memberi penerangan lanjut berkaitan situasi puan atau merujuk kepada mana-mana asatizah yang berkelayakan untuk memberi hukum berkaitan perkara ini.
Sekian. Terima kasih.