BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualikum, Kami ingin mendapatkan pencerahan yang masih bercelaru di kalangan jemaah. Tiada masalah dengan beriktikaf, solat tahiyatul masjid & kawasan larangan untuk wanita haid. Yang keliru sekarang ialah di 2 tempat: 1. Surau 2. Surau Jumaat Mohon pencerahan berkenaan iktikaf dan solat tahiyatul masjid di kedua-dua tempat ini. Juga mohon pencerahan berkaitan dengan wanita haid yang tidak boleh masuk ke ruang solat di masjid. Bagaimana pula di kedua-dua tempat ini yang ada kata wanita haid bole masuk ke dalam surau atau surau Jumaat.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan: 1. Bagi persoalan iktikaf sama ada di surau/ surau Jumaat, berdasarkan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Pindaan 2008, “Masjid” diertikan sebagai suatu bangunan : a. Yang digunakan bagi sembahyang Jumaat dan sembahyang yang lain dan kegiatan-kegiatan yang disuruh, disyorkan atau dibenarkan oleh agama Islam dan b. Yang penggunaannya sebagai yang sedemikian dibenarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor. Sehubungan itu, mana-mana surau yang telah mendapat kebenaran atau tidak daripada Jabatan Agama Islam Selangor untuk mendirikan solat Jumaat adalah tidak termasuk di dalam kategori masjid dan tidak harus melakukan solat sunat tahiyatul masjid serta beriktikaf di dalamnya. 2. Bagi perempuan haid masuk surau/surau Jumaat; Harus bagi perempuan haid masuk surau/ surau Jumaat dengan tujuan untuk menuntut ilmu dan wajib ia menjaga supaya tidak mengotori surau atau ruang solat tersebut. Firman Allah SWT : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci.” (al-Nisa : 43) Ayat di atas ini khusus untuk masjid sahaja. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 2714

message user image