Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Umum mengetahui bahawa apabila pasangan suami isteri bercerai dan mempunyai anak yang masih kecil (contohnya berumur 6 tahun), kebiasaannya hak jagaan diberikan kepada ibu, manakala bapa bertanggungjawab menyediakan nafkah kepada anak. Keadaan ini dilihat seimbang kerana kedua-dua pihak memainkan peranan dalam membesarkan anak.
Namun begitu, sekiranya ibu tidak lagi menjaga anak tersebut sama ada kerana enggan atau hilang kelayakan, dan anak berada di bawah jagaan penuh bapa, timbul persoalan: adakah tanggungjawab nafkah anak boleh dipindahkan kepada ibu, atau adakah bapa tetap perlu menanggung sepenuhnya nafkah tersebut?
Situasi ini menimbulkan persoalan tentang keseimbangan tanggungjawab, memandangkan anak merupakan hasil perkongsian kedua-dua pihak. Bagaimanakah Islam menilai dan menetapkan keadilan dalam pembahagian tanggungjawab antara ibu dan bapa dalam keadaan sebegini?
Terima kasih.
Jawapan
Dalam Islam, nafkah anak adalah tanggungjawab utama bapa walaupun anak tidak berada di bawah jagaannya. Ini bermaksud bapa wajib menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan lain untuk anak. Walaupun hak jagaan anak biasanya diberikan kepada ibu, jika ibu tidak layak atau tidak menjaga anak, hak tersebut boleh berpindah kepada bapa atau pihak lain yang sesuai. Namun begitu, tanggungjawab nafkah tetap tidak berpindah kepada ibu kerana anak dinasabkan kepada bapa. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 233 :-
Maksudnya: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.
Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya. (Tafsir al-Quran al-‘Azim).
Hadis daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
Maksudnya: Bahawasanya seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai satu dinar, lalu baginda bersabda: “Tunaikanlah nafkah ke atas dirimu, lalu lelaki tersebut berkata: Aku juga mempunyai yang lain (wang), lalu baginda bersabda: “Tunaikanlah nafkah ke atas anakmu….” (Riwayat Abu Dawud, al-Nasa’i, al-Hakim)
Sebagai kesimpulan, jagaan anak boleh berubah mengikut keadaan, tetapi kewajipan nafkah tetap kekal di bawah tanggungjawab seorang bapa kepada anak tersebut.
Sekian, terima kasih.