Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya tinggal di kuarters Putrajaya. Setiap minggu Sabtu Ahad akan balik kampung di Sg Besar, Selangor untuk menjengok mak mertua dan anak jika tiada urusan hujung minggu.. Anak duduk dengan mak mertua sejak umur 4 tahun. Sekarang anak umur 16 tahun
Soalan 1) Boleh ke saya & isteri buat jamak qasar di rumah mak mertua.
Soalan 2) Kekadang anak akan ikut kami balik ke Putrajaya semasa cuti sekolah dlm dua ke tiga hari. Bolehkah anak buat solat jamak qasar di rumah Putrajaya
Terima kasih atas pencerahan
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan,
Bagi menjawab soalan pertama, perlu melihat kepada syarat-syarat musafir yang membolehkan solat jamak dan qasar. Salah satu syarat utama adalah niat untuk bermukim di tempat yang dituju tidak melebihi tempoh yang ditetapkan oleh syarak.
Jika anda dan isteri pulang ke rumah mak mertua di Sungai Besar, Selangor setiap hujung minggu (Sabtu Ahad) dan niat anda adalah untuk tinggal sementara (tidak bermukim secara kekal atau dalam tempoh yang panjang), maka anda masih dianggap sebagai musafir. Memandangkan anda pulang ke Sungai Besar hanya untuk hujung minggu (dua hari), niat anda adalah untuk tinggal sementara dan tidak melebihi tiga hari tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Oleh itu, anda dan isteri masih boleh melakukan solat jamak dan qasar di rumah mak mertua anda, dengan syarat jarak perjalanan dari Putrajaya ke Sungai Besar memenuhi syarat jarak qasar (kira-kira 81 km atau lebih).
Bagi soalan kedua, jika anak anda tinggal bersama mak mertua di Sungai Besar dan menganggap Sungai Besar sebagai tempat tinggal asalnya (watannya), maka apabila dia mengikut anda pulang ke Putrajaya untuk dua atau tiga hari, dia juga dianggap sebagai musafir. Oleh itu, jika anak anda menganggap Sungai Besar sebagai tempat tinggal tetapnya, dan dia datang ke Putrajaya untuk tempoh dua atau tiga hari (tidak berniat bermukim empat hari atau lebih), dan jarak perjalanan dari Sungai Besar ke Putrajaya memenuhi syarat jarak qasar, maka dia boleh melakukan solat jamak dan qasar di rumah Putrajaya.
Sekian, terima kasih.