BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wrh wbr.

Saya dan keluarga baru menyedari bahawa cara kami berwudhu' selama ini adalah salah. Sebelum ini, kami berpegangan basuhan tangan sebelum berkumur itu sudah memadai sebagai sebahagian kewajipan/rukun wudhu, maka ketika membasuh siku, kami hanya membasuhnya dari atas siku sehingga pergelangan tangan.

Kami baru menyedari bahawa basuhan tangan sebelum kumur itu dihukum sunnat sedangkan basuhan lengan selepas membasuh muka wajib dibasuh bersama tangan sekali sebagai rukun.

Soalannya, apakah status semua ibadah kami sebelum ini seperti solat dan umrah yang telah dilakukan? Terima kasih atas pencerahan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan persoalan yang diajukan, secara umumnya orang yang lupa atau tidak tahu tentang sesuatu perkara berkaitan ibadah adalah tidak berdosa. Walau bagaimanapun, jika perkara tersebut merupakan syarat atau rukun bagi sesuatu ibadah, maka kewajipan tersebut tidak gugur dan dia perlu mengulangi atau qada' ibadah itu. Imam al-Suyuti menyebutkan dalam al-Ashbah wa an-Naza'ir (ms188):

أَنَّ النِّسْيَانَ وَالْجَهْلَ، مُسْقِطٌ لِلْإِثْمِ مُطْلَقًا وَأَمَّا الْحُكْمُ: فَإِنْ وَقَعَا فِي تَرْكِ مَأْمُورٍ لَمْ يَسْقُطْ. بَلْ يَجِبُ تَدَارُكُهُ. 

Maksudnya: Lupa dan kejahilan menggugurkan dosa secara mutlak. Adapun dari sudut hukum (kesan perbuatan), jika kedua-duanya berlaku pada meninggalkan sesuatu yang diperintahkan, maka ia tidak gugur, bahkan wajib untuk diperbaiki (ditunaikan semula).

Oleh itu, tuan/puan perlu menggantikan solat yang sudah berlalu sekadar yang mampu diingati. Jika umrah yang dikerjakan adalah umrah wajib, maka ia perlu ditunaikan semula dengan memenuhi syarat dan rukunnya. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 10

message user image