Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t.,
Saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai hukum short selling FCPO (Futures Crude Palm Oil).
Saya perhatikan dalam beberapa penjelasan, antaranya posting yang boleh dirujuk di pautan berikut: https://x.com/i/status/1677469967120478208 , bahawa short selling FCPO dikatakan dibenarkan kerana kontrak dijamin oleh clearing house dan gharar dikurangkan.
Adakah benar bahawa hukum short selling FCPO berbeza dengan instrumen lain seperti saham atau komoditi biasa? Jika ya, apakah sebab atau kriteria yang membezakan FCPO dari instrumen lain sehingga dibenarkan menurut pandangan SC/MPS?
Segala penjelasan daripada pihak Mufti amat saya hargai bagi memastikan perdagangan saya mematuhi syariah.
Terima kasih.
Wassalamualaikum w.b.t.
Jawapan
Secara umumnya, kontrak niaga hadapan ialah satu perjanjian urus niaga bursa (exchange traded agreement) untuk membeli dan menjual sesuatu barangan komoditi yang terdapat di pasaran sebenar (pasaran tunai) dalam suatu kuantiti yang standard pada tarikh masa hadapan dan tempat penghantaran yang telah ditetapkan.
Merujuk kepada persoalan, Majlis Penasihat Syariah (MPS) telah memutuskan bahawa kontrak niaga hadapan minyak sawit (Crude Palm Oil Future Contract) adalah diharuskan kerana ia selaras dengan prinsip-prinsip Syariah. Antara prinsip Syariah yang berkaitan dengan urus niaga ini adalah seperti berikut:
Tiada Unsur Judi: Penetapan sejumlah ‘deposit’ kepasa peserta pasaran sebagai bayaran margin sebelum memulakan urus niaga tidak termasuk dalam judi kerana peningkatan dan penyusutan nilai adalah disebabkan perubahan permintaan dalam pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah dan merupakan suatu fenomena yang lumrah dalam dunia perniagaan. Tidak tepat untuk menghukum nilai kontrak yang menyusut atau meningkat akibat perubahan permintaan dalam pasaran hadapan minyak sawit mentah sebagai suatu aktiviti judi. Ini kerana aktiviti perjudian bergantung semata-mata kepada nasib dan tidak berkait dengan permintaan dan penawaran.
Tiada unsur gharar: Untung dan rugi dalam dunia perniagaan merupakan suatu perkara yang lumrah. Apabila kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah dilaksanakan, perkara seperti jumlah barangan, jenis, harga dan penyerahan telah dimaklumkan kepada peserta pasaran. Oleh itu tiada unsur gharar dalam kontrak terbabit. Kesemuanya telah dimaklumkan secara jelas dalam kontrak, malah aspek-aspek pengawalseliaan dan perundangan telah disediakan bagi memastikan tidak berlaku penipuan. Penyelesaian kontrak boleh dibuat secara tunai sebelum tarikh matang atau penyerahan secara fizikal ketika matang. Tambahan lagi, kegagalan penyerahan oleh penjual akan dijamin oleh rumah penjelasan. Oleh yang demikian, unsur-unsur gharar adalah tidak wujud.
Spekulasi juga merupakan antara isu yang menjadi kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah. Secara umumnya, ia merujuk kepada tindakan mengambil peluang membuat keuntungan daripada pergerakan harga sesuatu barangan. Secara hakikatnya, aktiviti spekulasi wujud dalam apa jua bentuk perniagaan dan tidak terhad kepada dagangan urus niaga hadapan sahaja. Cuma, sama ada ia berbentuk keterlaluan ataupun berada dalam keadaan normal.
Dikatakan tidak berlaku ‘iwadh (tiada pertukaran barang) dalam urus niaga hadapan minyak sawit mentah. Dalam konteks ini tiada berlaku pembelian barangan dalam hakikat sebenar. Justeru, tiada berlaku sebarang pertambahan nilai dalam aktiviti ekonomi. Dagangan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah pada hakikatnya memberikan suatu nilai tambah kepada peserta pasaran. Contohnya, apabila pengeluar minyak sawit mentah melakukan lindung nilai (hedging), mereka berusaha untuk mengurangkan kos. Ini secara tidak langsung dapat memperbaiki keuntungan syarikat dan menjadikan hasil pengeluaran mereka lebih berdaya saing.
Berdasarkan kepada huraian di atas, MPS telah memutuskan bahawa kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah adalah selaras dengan prinsip Syariah selagi ia bersih daripada unsur riba dan judi. Maka para pelabur yang prihatin dengan pengamalan prinsip-prinsip Syariah boleh memanfaatkan kemudahan yang ada untuk menggunakannya sebagai INSTRUMEN PENGURUSAN RISIKO. Maklumat lanjut boleh rujuk Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Edisi Kedua.
Sekian. Terima kasih.