BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya nak tanya berkaitan kitaran haid di bulan puasa. Hari pertama keluar darah pada 12/2, dan berhenti pada 20/2. Pada 24/2 (hari ke-7 ramadan), ada cecair/lendir berwarna coklat keluar pada malam hari selepas berbuka puasa. Soalannya 1) adakah saya perlu solat dan puasa esok dan hari seterusnya kerana jika mengikut kitaran haid, saya masih dalam lingkungan 15 hari 15 malam

2)adakah puasa saya dikira atau saya kena ganti semula dari hari pertama hingga hari ketujuh 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Perlu difahami bahawa secara asasnya, tempoh maksimum haid adalah 15 hari. Manakala tempoh minimum suci antara dua haid ialah 15 hari suci. 

Maka, merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Darah yang keluar pada 12hb hingga 20hb (8 hari) adalah darah haid. Manakala tempoh dari 20hb hingga 24hb (siang) adalah tempoh tiada darah/bersih (4 hari). Apabila tempoh suci (tiada darah) selama empat hari diapit oleh dua tempoh keluar darah, iaitu dari 12hb hingga 20hb dan disusuli pada 24hb, maka cecair berwarna coklat yang keluar pada 24/2 tersebut dihukumkan sebagai sambungan haid. Hal ini kerana tempoh suci tersebut belum mencapai kadar minimum suci antara dua haid iaitu 15 hari dan keseluruhannya masih berada dalam lingkungan tempoh maksimum haid (15 hari). Tidak wajib menunaikan solat dan tidak sah berpuasa selagi darah masih keluar serta belum benar-benar suci. 

2. Ya, puasa yang dilakukan dalam tempoh yang sebenarnya masih dikira haid adalah tidak sah dan wajib diqada’. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 55

message user image