Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..saya ingin bertanya..
Saya telah memakai perancang implanon selama lebih 6 bulan. Haid saya agak tidak teratur. Ia datang 2 bulan sekali. Sebagai contoh, haid datang selama 7 hari, kemudian berhenti selama 5 hari. Kemudian ia datang semula untuk 5 hari. Haid yang datang buat kali ke-2 dalam waktu sebulan, jumlahnya agak sederhana. Saya nak tahu, haid tersebut dikira istihadah ataupun tidak ? Dan saya boleh solat / puasa tak? Terima kasih.
Jawapan
Tempoh maksimum bagi kitaran haid adalah 15 hari 15 malam manakala tempoh minimumnya adalah sehari semalam (24 jam). Darah yang keluar semula dalam tempoh maksimum haid dan berterusan melebihi tempoh maksimum haid, ia menunjukkan berlakunya percampuran antara darah haid dan darah Istihadhah. Bagi menentukan perbezaan darah haid atau Istihadhah, ia boleh dikenal pasti dengan dua kaedah, iaitu perbezaan warna darah (kaedah Tamyiz) dan kaedah Adat kebiasaan:
Kaedah tamyiz (membezakan) jenis darah dengan menentukan darah yang kuat dan lemah melalui perbezaan warna darah tersebut. Darah kuat dianggap sebagai darah haid sebaliknya darah lemah adalah darah Istihadah. Jika tidak dapat dibezakan darah, boleh menggunakan kaedah kedua;
Kaedah adat. Kaedah ini adalah dengan melihat adat kebiasaan tempoh haid puan pada bulan yang paling hampir. Sebagai contoh, tempoh kebiasaan haid adalah 7 hari, dan suci 23 hari. Maka haid puan hanya 7 hari selebihnya adalah darah istihadhah.
Merujuk soalan, 7 hari pertama adalah darah haid, suci 5 hari. Kemudian, darah datang semula dalam tempoh maksimum haid dan berterusan melebihi 15 hari 15 malam (maksimum haid) iaitu berlaku percampuran darah haid dan istihadhah. Puan boleh menentukan darah tersebut seperti kaedah yang diterangkan. Apabila telah ditentukan jenis darah tersebut, puan boleh solat dan berpuasa ketika istihadhah dan sebaliknya jika sedang haid.
Sekian. Terima kasih.