BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanyakan mengenai terjatuhnya talak ataupun tidak melalui situasi berikut:-

 

Situasi 1:

Suami kantoi buat hal dengan isteri. Pastu isteri cakap "Lepas ni kalau kau ulang lagi benda ni, kau lepaskan aku". Suami jawab "Ya", kemungkinan isteri ada suruh suami ulang balik apa yang dia cakap tu. Fast forward, suami ulang lagi benda sama, jatuh talak tak?


Situasi 2:

Isteri suruh suami buat lafaz taklik lebih kurang macam ni:-

Talak akan jatuh kalau:-
1. Suami buat A
2. ⁠Suami buat B
3. ⁠Suami buat C
4. ⁠Suami buat D

Fast forward, suami buat salah satu dari 4 tu, talak jatuh atau tidak?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan:

Situasi 1:

Merujuk kepada pertanyaan puan, lafaz isteri kepada suami: “Lepas ini kalau kau ulang lagi benda ini, kau lepaskan aku”, dan jawapan suami: “Ya”, bukanlah suatu lafaz talak.

Sebaliknya, ia lebih merupakan satu bentuk peringatan atau cadangan daripada pihak isteri, iaitu sekiranya suami mengulangi perbuatan tersebut, isteri meminta agar dilepaskan. Jawapan “Ya” daripada suami pula hanya menunjukkan persetujuan secara umum terhadap perkara tersebut pada masa akan datang, dan bukan suatu lafaz cerai yang jelas atau kinayah yang disertai niat talak.

Oleh itu, dalam situasi ini, tidak berlaku talak kerana tiada lafaz cerai yang jelas dikeluarkan oleh suami.

Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan pengesahan yang lebih tepat berdasarkan keseluruhan situasi, puan disarankan merujuk kepada Unit Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah tempat puan bermastautin.

Situasi 2:

Dalam isu taklik talak, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian:

Pertama, lafaz taklik hendaklah jelas, sempurna dan menepati kehendak syarak. Dalam hal ini, puan tidak menyatakan lafaz sebenar yang diucapkan oleh suami, maka penentuan hukum secara tepat adalah terhad.

Keduanya, berhubung persoalan sama ada talak jatuh apabila suami melakukan salah satu daripada empat perkara yang disebut, ia bergantung kepada bentuk lafaz taklik tersebut:

  • Sekiranya lafaz taklik itu berbentuk pilihan (atau), seperti: suami melakukan A atau B atau C atau D, maka melakukan salah satu daripada perkara tersebut sudah memadai untuk menyebabkan jatuhnya talak.
  • Namun, jika lafaz taklik itu berbentuk gabungan (dan), seperti: suami melakukan A dan B dan C dan D, maka talak hanya akan jatuh apabila kesemua perkara tersebut dilakukan.

Kesimpulannya, penentuan jatuh atau tidaknya talak dalam kes taklik amat bergantung kepada lafaz yang tepat serta maksud yang dikehendaki oleh suami ketika melafazkannya.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 17

message user image