Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, Ustaz....
Saya nak tanya.. ada seorang kawan saya, baru meninggal dunia.
#Soalannya...berapakah agihan wang simpanan si mati pada warisnya mengikut faraid dan hukum islam sebenarnya.Untuk makluman , warisnya yg hidup adalah seperti berikut:
i)isteri (tiada anak)
ii)ibunya(ayah tiada dah meninggal)
iii)adik beradik kandung 3 orang(2 perempuan dan 1 lelaki).
Adakah mereka semua layak mendapat agihan faraid tersebut.
Jawapan
Merujuk kepada fakta kes dan persoalan yang dikemukakan, waris yang layak ke atas harta pusaka si mati adalah isteri mewarisi sebanyak 1/4, ibu mewarisi sebanyak 1/6 bahagian, saudara lelaki seibu sebapa dan 2 saudara perempuan seibu sebapa mewarisi secara Asobah Bi al-Ghairi iaitu yang menghabisi dari bahagian waris yang lain. Adapun pembahagian bagi setiap seorang adalah sebagaimana berikut:
| Waris | Asal masalah | Bahagian |
|---|---|---|
| Isteri | 1/4 | 12/48 |
| Ibu | 1/6 | 8/48 |
| Saudara lelaki seibu sebapa | Asobah Bi al-Ghairi | 14/48 |
| Saudara perempuan seibu sebapa | Asobah Bi al-Ghairi | 7/48 |
| Saudara perempuan seibu sebapa | Asobah Bi al-Ghairi | 7/48 |
Oleh yang demikian, senarai waris dan pembahagian yang dinyatakan di atas adalah hanyalah berdasarkan kepada fakta yang diberikan oleh pihak tuan. Bagi mendapatkan pengiraan dengan lebih tepat, disarankan kepada pihak tuan agar mendapatkan perintah faraid di Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih.