Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt Tuan Mufti,
Masalah ini berkaitan dengan isteri saya. Isteri saya berumur 43 tahun. Dia mengalami kemusykilan berkaitan haid. Sebab dulu haid lancar berterusan sehingga hari ke 9.. Di usia sekarang, isteri saya mengadu, darah merah haid datang hari 1 ke 5 seperti biasa. hari ke 6-9 tiada apa apa yang keluar. Hari yang ke 10-12 keluar balik haidnya warna coklat. Adakah dia perlu mandi wajib pada hari yang tiada apa yang keluar dan beribadat seperti biasa.
Saya melihat seperti isteri saya tertekan dengan keadaan ini. Sehinggakan dia mandi wajib setiap hari. kerana risau ibadatnya.
Mohon penjelasan.
Terima kasih.
Jawapan
Secara asasnya, sekurang-kurang darah haid adalah 24 jam atau sehari semalam, sama ada darah keluar secara berterusan atau terputus-putus selama 15 hari 15 malam.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, darah yang keluar semula pada hari ke-10, tidak melebihi tempoh maksimum 15 hari tempoh haid, maka darah itu adalah darah haid. Ini bermakna, tempoh tiada keluar darah di antara darah pertama dan darah kedua dikira sebagai tempoh haid juga yang dipanggil sebagai naqa'. Naqa’ ialah keadaan tempoh terputus darah mengalir keluar dan tidak kelihatan kesan darah (bersih).
Oleh itu, isteri tetap perlu mandi wajib pada hari ke-5 kerana ketika itu terbukti darah telah kering dan sudah suci. Namun, apabila keluar semula darah pada hari ke 10,11,12 maka puasa isteri pada hari yang tiada keluar darah (hari ke 6-9) perlu diganti semula kerana ia dikira juga dalam tempoh haid.
Walaupun solat dan puasa yang dilakukan dalam tempoh naqa' itu tidak sah kerana dianggap dalam tempoh haid, isteri tidak berdosa. Bahkan isteri tetap mendapat pahala kerana mentaati perintah Allah SWT.
Sekian, terima kasih.