BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Mufti,

Ibu saya berkahwin dengan duda anak 5, tiada anak bersama. Selepas beberapa tahun berkahwin suaminya meninggal kerana sakit. 

Sekarang timbul persoalan wajib ke ibu saya menafkahi dan menjaga anak² tirinya? 3 orang anak tiri lelaki sudah berusia 28-35 sudah bekerja dan ada yang sudah mendirikan rumah tangga.

Wajib ke ibu saya menafkahi 2 lagi anak2 tiri dia yang masih belajar umur 20 dan 21 tahun? Dan wajib ke duit pencen arwah bapa mereka dia bahagikan kepada mereka? Semua ahli keluarga mendesak ibu saya untuk menafkahi mereka. Ibu saya pun bekerja menampung hutang kereta yang ditinggalkan arwah bapa mereka. Dan ibu saya juga bakal berkahwin lain.

Tolong jawab supaya saya boleh jernihkan keadaan.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Menjawab persoalan puan, ibu tiri tidak wajib menanggung anak-anak tiri. Tanggungan mereka berbalik kepada wali mereka mengikut susunan wali.

Manakala, berkenaan pencen terbitan, ia bukanlah harta pusaka. Pencen terbitan akan diterima oleh balu dan anak-anak si mati yang berumur di bawah 21 tahun yang masih belajar di peringkat ijazah pertama. Maklumat lanjut puan boleh rujuk Bahagian Pencen atau tempat di mana arwah suami berkhidmat atau layari link berikut untuk tindakan selanjutnya.

https://www.jpapencen.gov.my/penerima_PT.html

Berkenaan tanggungan 2 orang anak yang masih belajar, boleh menggunakan duit pencen tersebut dan harta peninggalan si mati yang telah difaraidkan kepada ahli waris.

Jika tidak mencukupi, abang-abang yang telah bekerja boleh menanggung mereka dengan kadar kemampuan masing-masing. 

Sesungguhnya, jika semua pihak dalam perwalian memainkan peranan dan tanggungjawab menjaga kebajikan anak-anak, mereka akan diberi ganjaran sebaik-baiknya oleh Allah SWT. Disamping menjaga hubungan silaturrahim, hubungan disebabkan darah daging atau nasab/ keturunan lebih utama didahulukan keperluannya berbanding orang lain. 

Disarankan agar pihak ibu puan serta ahli waris yang terlibat untuk mengurus harta pusaka arwah termasuk hutang dan sebagainya dengan merujuk Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri untuk penjelasan selanjutnya agar semua ahli keluarga faham dan akur dengan keputusan daripada organisasi yang berautoriti. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 19

message user image