BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum mufti, saya ada beli dua pasang kasut daripada orang bukan islam. Kasut itu tidak mengandungi kulit babi dan dia tidak bela anjing. Selepas beberapa hari saya memakai kasut tersebut, saya mendapati bahawa dia pernah menjual kasut berkulit babi dua tahun lepas. Adakah saya perlu tanya dia bahawa dia pernah sentuh kasut tersebut atau tidak? Apakah hukum kesucian kasut yang saya beli itu?

Mohon pencerahan. Sekian terima kasih 


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, kasut yang tuan beli dan telah dipastikan secara yakin semasa pembelian bahawa ia tidak diperbuat daripada kulit babi adalah suci dan harus digunakan seperti biasa. Khabar atau dakwaan bahawa penjual pernah menjual kasut yang diperbuat daripada kulit babi tidak mempunyai kaitan dengan kasut yang telah dibeli oleh tuan. Perkara tersebut tidak menjadikan kasut yang dibeli itu berubah status menjadi najis. 

Begitu juga, tidak timbul isu sama ada penjual pernah menyentuh kasut tersebut atau tidak. Sentuhan orang bukan Islam terhadap barang milik orang Islam tidak menjadikan barang tersebut najis, selagi tidak terbukti adanya ain najis yang berpindah kepada barang berkenaan.

Sesuatu hukum berkaitan najis mestilah berdasarkan keyakinan yang jelas terhadap kewujudan ain najis, sama ada najis mukhaffafah, mutawassitah atau mughallazah (yang perlu disertu). Andaian atau keraguan semata-mata tidak mencukupi untuk mengubah status kesucian sesuatu barang.

Justeru, selagi tidak ada bukti yang jelas bahawa kasut tersebut terkena ain najis seperti tahi dan sebagainya atau diperbuat daripada bahan yang diharamkan seperti kulit babi dan seumpamanya, maka ia kekal suci dan boleh digunakan seperti biasa. Islam tidak membebankan umatnya dengan was was dan andaian yang tidak berasas.

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 18

message user image