BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya baru menerima tawaran pekerjaan sebagai Treasury Officer di sebuah syarikat dan ingin memastikan pekerjaan ini patuh syariah sebelum menerimanya. Saya ingin mendapatkan penjelasan berkaitan hukum syariah bagi seorang Muslim yang bekerja dalam jawatan ini.

Tugas jawatan ini termasuk:

  • Menguruskan aliran tunai syarikat

  • Memproses transaksi mata wang asing (FX) untuk tujuan operasi dan pembayaran antarabangsa

  • Menyokong pelaksanaan strategi lindung nilai (hedging) bagi mengurangkan risiko turun naik mata wang

Soalan saya:

  • Adakah pekerjaan ini dibenarkan dalam Islam, memandangkan transaksi FX dilakukan untuk tujuan operasi syarikat dan lindung nilai, dan bukannya untuk spekulasi atau keuntungan peribadi secara riba atau perjudian?

Segala penjelasan pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor amat saya hargai. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Secara asasnya, pekerjaan sebagai Treasury Officer yang melibatkan pengurusan aliran tunai syarikat adalah diharuskan dalam Islam kerana ia termasuk dalam urusan muamalat yang dibenarkan syarak, selagi tidak mengandungi unsur-unsur yang dilarang seperti riba, gharar (ketidakpastian yang melampau) dan maisir (perjudian). Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 29:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ 

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

Berhubung dengan pelaksanaan transaksi mata wang asing (FX), hukum asalnya adalah harus di bawah konsep bay‘ al-ṣarf, dengan syarat ia dilaksanakan secara tunai (spot) tanpa penangguhan yang membawa kepada riba, serta bebas daripada unsur spekulasi yang melampau. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id Al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعيرُ بالشَّعيرِ، والتَّمرُ بالتَّمرِ، والمِلْحُ بالمِلْحِ: مِثْلًا بمِثْلٍ، يَدًا بيَدٍ، فمَن زاد أوِ ازداد فقد أَرْبى؛ الآخِذُ والمُعْطِي فيه سواءٌ

Maksudnya: Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar dan garam dengan garam hendaklah sama sukatan (nilainya) dan diserahkan secara serta-merta (tunai). Maka sesiapa yang menambah atau meminta tambahan, sesungguhnya dia telah melakukan riba; pemberi dan penerima dalam hal itu adalah sama (berdosa). (Riwayat Muslim)

Hadis ini menekankan secara umum bahawa wujudnya syarat pertukaran secara serta-merta dalam pertukaran emas pada zaman tersebut atau matawang pada masa kini. Oleh itu, transaksi FX yang dilakukan bagi tujuan operasi syarikat seperti pembayaran kepada pembekal luar negara adalah diharuskan selagi memenuhi syarat-syarat tersebut.

Seterusnya, berkaitan pelaksanaan strategi lindung nilai (hedging), ia dilihat harus dari sudut tujuan sekiranya bertujuan untuk mengurangkan risiko turun naik mata wang dan melindungi kestabilan kewangan syarikat, selaras dengan prinsip menjaga harta (hifz al-mal) dalam maqasid syariah. Walau bagaimanapun, hukum pelaksanaannya bergantung kepada instrumen yang digunakan. Sekiranya hedging dilaksanakan melalui instrumen kewangan konvensional yang mengandungi unsur riba, gharar atau maisir maka ia tidak dibenarkan. Sebaliknya, penggunaan instrumen lindung nilai patuh syariah maka ia diharuskan.

Kesimpulannya, pekerjaan sebagai Treasury Officer adalah diharuskan selagi skop tugas dan pelaksanaannya mematuhi prinsip-prinsip syariah, khususnya dalam memastikan transaksi kewangan bebas daripada unsur-unsur yang dilarang. Namun demikian, sekiranya terdapat penglibatan dalam instrumen kewangan yang tidak patuh syariah atau meragukan, maka adalah wajar untuk mengambil pendekatan berhati-hati (ihtiyat), selaras dengan hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu'man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang menjauhi perkara syubhah, maka dia telah memelihara agama dan maruahnya (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.   


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 12

message user image