Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Selepas ambil wuduk, air mengalir masuk ke dalam bibir (bukan dalam mulut) tapi sempat lap dalam bibir sebelum telan air liur. Batal ke puasa saya? Saya rasa macam yakin tak batal sebab tak ada rasa air paip dan air tu tak sempat bercampur dengan air liur saya kerana saya sempat lap air dalam bibir tu. Persoalannya betul ke tak batal puasa?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa sesuatu hukum itu dibina atas perkara yang yakin dan jelas. Dalam situasi puan, perkara yang jelas ialah puan tidak menelan air wuduk dengan sengaja. Bahkan air yang masuk ke bahagian bibir itu juga telah dilap sebelum sempat ditelan atau bercampur secara pasti dengan air liur.
Adapun kemungkinan kecil seperti air yang sangat sedikit yang mungkin masuk secara tidak sengaja tanpa disedari, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dalam syarak kerana ia berlaku di luar kawalan dan bukan disengajakan.
Justeru, berdasarkan keadaan yang puan jelaskan, puasa puan tidak terbatal. Islam tidak membebankan seseorang dengan perkara yang di luar kemampuan dan tidak menuntut penelitian yang terlalu berlebihan sehingga menimbulkan waswas.
Sekian, terima kasih.