BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalaamualaikum muft

Saya selalu was was di tasydid surah al fatihah di dalam solat, selalu ragu2 tasydid sudah baca dengan betul atau tidak. bolehkah saya tinggalkan tasydid untuk hindari dari was was? Atau apa yang perlu saya lakukan?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Membaca surah al-fatihah adalah salah satu rukun solat. Jadi wajib untuk kita membacanya berserta makhraj dan tajwid yang betul. Wajib untuk kita menjaga bacaan surah al-fatihah pada setiap huruf agar tidak berkurang atau tertukar. Wajib juga kita jaga bacaan syaddah dan juga panjang pendek harakat surah al-fatihah. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Muzammil ayat 4:

وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا

Maksudnya: Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan

Membaca surah al-Fatihah dengan tajwid yang tidak betul termasuk dalam kategori Lahn al-Khafiy (kesalahan tersembunyi). Kesalahan ini tidak membatalkan solat seseorang. Namun, solat boleh terbatal jika berlakunya Lahn al-Jaliy (kesalahan yang jelas), iaitu kesalahan dalam menyebut perkataan sehingga mengubah makna sebenar ayat seperti mengubah baris atau mengubah huruf pada ayat.

Merujuk soalan yang diajukan, tuan tidak boleh meninggalkan bacaan tasydid dengan sengaja ketika membaca al-fatihah. Tuan tetap perlu berusaha membaca dengan bertajwid seperti memenuhi bacaan mad (panjang pendek), ghunnah (dengung) dan syaddah walaupun diketahui bacaan tersebut belum sempurna pada tajwidnya. Oleh itu, tuan perlu memperbaiki bacaan al-quran dari semasa ke semasa dengan berguru dengan mereka yang benar-benar berkaliber dan berkelayakan. Ini dapat membantu dalam masalah was-was yang tuan hadapi

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.     


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 21

message user image