BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya telah mandi hadas setelah haid. Beberapa hari selepas itu, saya perasan atas kuku kaki ada kesan hitam yg selalu muncul setelah memakai selipar hitam yg menutup kaki. Sebelum ini, kesan tersebut tidak dapat hilang sepenuhnya melainkan saya kikis dgn kuat. Ada juga kotoran perang bawah kuku kaki kecil. Saya benar2 tidak perasan kesan tersebut ketika mandi wajib, dan saya tidak keluar ke mana2 yg berlupur. Saya memakai selipar bertutup atau kasut sukan berstokin jika keluar.

Sekarang, saya waswas jika solat saya selama beberapa hari ini sah kerana saya tidak pasti jika kesan selipar tersebut telap air atau tidak. Saya telah mandi wajib semula dan sambung solat seperti biasa.

Saya mengalami waswas teruk sejak kecil dan kini berada dalam keadaan gelisah. Adakah saya perlu mengganti semula semua solat tersebut?

Assalamualaikum


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa sesuatu hukum ditentukan berdasarkan perkara yang jelas dan yakin. Puan tidak perlu mengqada’ semula semua solat tersebut. Mandi wajib puan adalah sah apabila telah dilakukan dengan yakin. Mandi wajib seseorang tidak terbatal hanya kerana timbul syak pada kemudian hari tentang kemungkinan wujud atau tidak kesan kotoran pada kuku.

Kesan hitam pada kuku yang tidak disedari ketika mandi wajib dan bukan berupa lapisan tebal yang secara pasti menghalang air daripada sampai ke kuku, tidak menyebabkan mandi wajib seseorang menjadi tidak sah.

Solat-solat yang telah puan tunaikan juga adalah sah. Islam tidak menuntut umatnya sehingga menyukarkan diri atau membebankan diri dengan perkara di luar kemampuan. Oleh itu, berpeganglah kepada keyakinan puan ketika melakukan mandi wajib yang pertama tadi. Umat Islam juga tidak dituntut untuk mengulang-ulang ibadah tanpa sebab yang kukuh dan meyakinkan. Bahkan, perbuatan mengulang ibadah tanpa alasan yang jelas boleh membawa kepada perbuatan sia-sia (‘abath). Diriwayatkan daripada Hasan bin Ali RA cucu Rasulullah SAW, beliau berkata: 

دَعْ مَا يُرِيْبُكَ إِلىَ مَا لاَ يُرِيْبُكَ 

Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Riwayat al-Tirmizi) 

Banyakkan juga berdoa kepada Allah agar dijauhkan daripada perasaan waswas.

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 47

message user image