Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan,
Saya ada soalan berkaitan dengan mandi wajib berikutan bersetubuh di antara suami dan isteri. Yang saya pasti, kita perlu untuk mandi wajib apabila keluarnya air mani (sama ada sengaja atau tidak sengaja). Namun begitu, terdapat beberapa scenario yang saya memerlukan pencerahan. Oleh itu, berdasarkan scenario scenario yang di bawah, boleh saya minta pencerahan di mana yang perlu mandi wajib hadas dan yang mana tidak perlu?
1. Bersetubuh dan TIDAK mengeluarkan air mani (memasukkan kemaluan suami/lelaki ke dalam kemaluan isteri/wanita tetapi tidak mengeluarkan air mani).
2. Bermesraan/foreplay (TIDAK memasukkan kemaluan suami ke dalam kemaluan isteri) dan TIDAK bersentuhan kemaluan. (contohnya seperti hanya menjilat kemaluan isteri/suami atau hanya memasukkan jari ke dalam kemaluan isteri).
3. Bermesraan/foreplay (TIDAK memasukkan kemaluan suami ke dalam kemaluan isteri) namun BERSENTUHAN kemaluan. (bersentuhan kemaluan sahaja tetapi tidak memasukkan kemaluan suami ke dalam kemaluan isteri).
Selain itu, mohon pencerahan berkenaan scenario nombor 2 (Bermesraan tetapi tidak bersentuhan kemaluan). Jika hanya si suami yang mengeluarkan air mani ketika bermesraan scenario nombor 2, dan si isteri tidak keluar air mani. Adakah hanya si suami yang perlu mandi wajib dan tidak wajib kepada si isteri untuk mandi wajib kerana si isteri tidak menegeluarkan air mani?
Mohon Pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, mandi tidak diwajibkan hanya disebabkan keluarnya air mani. Pencerahan bagi situasi-situasi yang dinyatakan adalah seperti berikut:
1. Bersetubuh dengan memasukkan keseluruhan hasyafah (kepada zakar) lelaki ke dalam faraj seorang wanita mewajibkan bagi bagi kedua-duanya walaupun tiada air mani yang keluar. Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Apabila seseorang lelaki duduk di antara empat anggota perempuan (iaitu melakukan persetubuhan), kemudian dia bersungguh-sungguh melakukannya, maka wajib ke atasnya mandi junub. Dalam riwayat Matar (seorang tabi'in) terdapat tambahan: Walaupun tidak keluar air mani. (Riwayat Muslim)
2. Bagi situasi bermesraan/foreplay tanpa memasukkan kemaluan suami ke dalam kemaluan isteri tidak mewajibkan mandi. Ini kerana dalam situasi tidak berlaku kemasukan kepada zakar ke dalam faraj dan tiada air mani yang keluar.
3. Bagi situasi bermesraan/foreplay dalam keadaan bersentuhan kemaluan tanpa memasukkan kemaluan suami ke dalam kemaluan isteri juga tidak mewajibkan mandi jika tiada air mani yang keluar.
Sekian, terima kasih.