BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya dan mendapatkan penjelasan berkenaan status lafaz yang disebut oleh ayah saya kepada ibu saya semasa berlaku pergaduhan baru-baru ini.

Ayah saya ada menyebut kata-kata seperti:
“Kalau macam ni kita bercerai lebih baik, kita buat hal masing-masing. Aku tak ada isteri macam kau” ayah saya bercakap dalam keadaan yang marah tapi suara yang tenang dan perkara ini dah berlaku kali kedua

Untuk makluman, ini merupakan kali kedua ayah saya menyebut perkara yang hampir sama ketika bergaduh.

Saya ingin bertanya:

  1. Adakah lafaz tersebut dikira sebagai jatuh talak atau tidak?
  2. Apakah langkah yang perlu dilakukan oleh ibu dan ayah saya selepas ini?
  3. Perlukah mereka hadir ke pejabat agama atau mahkamah syariah untuk pengesahan?

Saya mohon penjelasan daripada pihak tuan/puan kerana kami kurang arif dan bimbang tentang status perkahwinan mereka. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab persoalan saudari, lafaz yang disebut oleh ayah saudari seperti: “Kalau macam ni kita bercerai lebih baik, kita buat hal masing-masing. Aku tak ada isteri macam kau” bukanlah lafaz talak yang jelas (sarih), sebaliknya ia lebih hampir kepada lafaz kinayah, iaitu lafaz yang boleh membawa maksud perceraian dan juga boleh difahami dengan makna selain perceraian. Menurut mazhab al-Syafi‘i, lafaz kinayah tidak menyebabkan jatuhnya talak melainkan jika disertakan dengan niat untuk menceraikan isteri ketika lafaz tersebut diucapkan.

Dalam situasi ini, ucapan ayah saudari boleh difahami sebagai luahan kemarahan, sindiran, ugutan, atau ungkapan ketidakpuasan hati, dan tidak semestinya dimaksudkan sebagai lafaz talak yang terus menjatuhkan perceraian. Oleh itu, penentuan sama ada talak jatuh atau tidak bergantung kepada niat sebenar ayah saudari ketika mengucapkan lafaz tersebut.

Sekiranya beliau tidak berniat untuk menceraikan isterinya, sebaliknya hanya meluahkan kemarahan atau tekanan emosi, maka talak tidak jatuh menurut mazhab al-Syafi‘i. Namun, jika ketika lafaz itu diucapkan beliau benar-benar berniat untuk menceraikan isterinya, maka talak boleh jatuh.

Memandangkan lafaz tersebut telah berlaku lebih daripada sekali dan mengandungi unsur kinayah yang berkaitan dengan perceraian, maka langkah yang lebih baik ialah:

  1. Ayah saudari menilai dan menjelaskan secara jujur apakah niat sebenar beliau ketika mengucapkan lafaz tersebut.
  2. Ayah dan ibu saudari hadir ke Pejabat Agama dan Mahkamah Syariah bagi mendapatkan nasihat dan pengesahan rasmi supaya tidak terus berada dalam keadaan ragu dan was-was.
  3. Elakkan membuat kesimpulan sendiri dalam isu talak kerana perkara ini melibatkan status perkahwinan serta hukum syarak yang perlu diteliti dengan cermat.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 17

message user image