Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada beberapa soalan.
1. Berkenaan bulu khinzir. Pada beberapa minggu lepas, saya pergi potong rambut dekat salon yang saya pergi dari kecil. Satu family saya juga pergi situ. Semasa tukang style rambut tu style rambut saya, saya nampak dia guna berus yang saya yakin bulu khinzir. Ketika itu, rambut saya basah dan dia guna berus itu dengan hair dryer utk style rambut saya. Pada waktu itu, saya tak nak waswas sangat jadi saya tak fikir banyak lagipon saya tak boleh solat akibat haid pada masa tu. Balik rumah, saya duduk di kerusi untuk tengok tv, saya ada lah sentuh2 rambut saya guna tangan dan rambut saya bersentuhan lah dengan kerusi sofa itu. Kemudian, ibu bapa saya ajak pergi kedai utk makan. Pada masa tu, saya tidak cuci pon rambut atau tangan atau apa2. Saya cuma pergi kedai itu dan kemudian, saya ada sentuh air. Balik rumah, saya tidur dalam keadaan rambut saya tidak disertu, serta tidak dicuci dengan apa sahaja air. Pada hari seterusnya, saya sertu seluruh badan dengan mengalirkan sekali air tanah dari sabun taharah dan 6 kali air mutlak. Bagi tangan saya, saya basuh seperti biasa sahaja tetapi itu pon selepas balik dari kedai makan itu. Persoalan saya, adakah rambut saya yang bersentuhan bulu khinzir semasa basah itu dan telah jadi kering selepas hairdry mampu menjadikan segala tempat yg bersentuhan dgn rambut saya najis mughallazah juga? Kerana saya tahu di rambut, ada minyak2 sendiri, dan ada orang kata juga bulu khinzir ini mempunyai minyak tersendiri. Contoh, saya baring dkt sofa dengan rambut yang keadaan seperti di atas. Di bantal2 di mana saya baring/rambut saya sentuh, tidak ada kesan basah atau apa2 kesan pon. Cuma, kita kan tahu ade minyak pada rambut dan sebagainya yang mungkin pindah ke bantal itu. Adakah saya terlalu fikir banyak? Sebab saya takut itu dikira sebagai basah walaupun takde kesan basah. Jadi, adakah bantal itu menjadi mutanajis yang najis mughallazah? Adakah saya perlu sertu bantal tersebut? Jika ibu bapa saya baring di sofa yang sama, adakah kepala mereka juga perlu sertu? Juga dengan tangan saya yang menyentuh rambut saya. Adakah apa sahaja yang saya sentuh dengan tangan saya (tak sertu lagi) menjadi mutanajis yang najis mughallazah dan perlu disertu? Juga dengan bag, seat kereta ayah saya yang juga disentuh oleh rambut saya ketika belum sertu dan cuci itu.
2. Berkenaan media sosial, seringkali ade lagu2 yg mengandungi lirik. Jika lirik pada lagu itu mengandungi unsur atheism atau agama2 lain, syirik dan sebagainya... ataupun juga lagu christmas, apa jadi jika kita post sesuatu guna lagu itu? Atau macam tiktok, ade butang "repost", apa jadi kalau kita nak repost tiktok itu yang tiada kaitan langsung dengan syirik dll, tapi lagunya mempunyai unsur2 di atas? Adakah kita akan murtad atau syirik?
3. Berkenaan solat. Saya perempuan yang senang gugur rambut dan kadang2 ada rambut yang terjatuh atas sejadah atau lantai, adakah solat saya sah jika saya tidak ketepikan rambut2 gugur yang ada pada sejadah atau telekung/lantai dan sebagainya? Kerana saya pernah dgr rambut gugur itu aurat.
4. Apa hukum berkata "semua kata yang terucap tertuju padamu"? Adakah ia boleh menyebabkan murtad atau syirik? Kerana saya takut "semua kata", bermaksud ia termasuk semua perkataan termasuk ibadah? Ataupun saya cuma waswas terlebih? Juga apa hukum berkata "saya tak suka siapa2" atau "saya benci semua orang"? Adakah ia juga akan menyebabkan murtad atau syirik? Kerana kan Rasulullah SAW juga orang. Adakah ia seolah2 berkata bahawa dia benci Rasulullah SAW juga?
5. Beberapa hari lepas, sepupu saya ada belikan saya patung dari 'POP MART', Labubu sebab dia berterima kasih kepada saya sebab tolong adiknya dalam pelajaran. Apabila dia beli itu, dia tunjuk kepada saya dan saya tak fikir banyak, saya pon setuju je lah. Kemudian, saya google. Jenis labubu yang dia beli itu sebenarnya dikeluarkan pada tarikh Valentine's Day dan untuk Valentine's Day. Namun, labubu itu tidaklah nampak terang-terang untuk Valentine's. Labubu itu bercorak dengan bentuk hati dekat tengah dan label dia adalah "Checkmate". Saya semak dan labubu itu tak tunjuk pon berkaitan dengan Valentines secara terang-terang. Labubu itu juga RM111.80 kalau tak silap saya dan sampai sekarang, saya biarkan ia terperap sahaja dalam bilik. Soalan saya, adakah kalau saya pakai labubu itu di bag atau saya bawak keluar dan sebagainya, adakah saya akan murtad? Atau jatuh kekufuran? Kerana labubu itu kan sebenarnya keluar utk Valentines. Namun, ia tidak bercorak terang-terang Valentines. Apa patut saya buat tentang labubu itu? Saya rasa kesian untuk bakar atau buang kerana sepupu saya yang belikan..
6. Adakah jikalau seseorang tasyabbuh, dia menjadi kafir? Atau murtad? Adakah dia keluar Islam? Walaupun dia masih berpegang kepada Rukun Iman?
Jawapan
Bagi menjawab persoalan yang diutarakan:
1. Berkenaan dengan najis, sesuatu benda dapat dihukumkan bernajis apabila yakin ada najis pada benda tersebut. Sekiranya berprasangka atau waswas sesuatu itu bernajis atau tidak, maka ia tidak dapat dihukumkan sebagai najis. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa asal sesuatu perkara adalah suci.
Berkenaan dengan berus yang digunakan, ia perlu dipastikan terlebih dahulu bahawa ia daripada bahan bulu khinzir. Sekiranya berprasangka atau sekadar berfikir ia bulu khinzir, maka itu tidak dikira yakin. Yakin mestilah tahu secara pasti melalui cara pemerhatian. Oleh itu, berus tersebut perlulah dipastikan terlebih dahulu adakah ia sememangnya daripada bulu khinzir melalui cara pemerhatian dan pengenalpastian. Malah ia tidak cukup hanya sekadar berasa yakin atau berfikir ia bulu khinzir.
Jika benar dan yakin dengan pasti berus tersebut adalah bulu khinzir, maka dapat dihukumkan najis yang berada pada rambut adalah najis hukmi berdasarkan kepada penerangan Puan. Hal ini kerana ia telah kering dan tidak dipastikan ain najis setelah rambut dikeringkan dengan hair dryer. Najis hukmi tidak akan berpindah najis daripada suatu tempat ke tempat lain. Oleh itu, bantal dan perabot lain serta kereta tidak perlu disertu.
2. Seseorang boleh dihukumkan murtad atau melakukan kesyirikan apabila dengan sengaja dia melakukan perkara tersebut. Iaitu dengan sengaja dan dalam keadaan sedar berpegang dan percaya kepada perkara syirik. Dalam situasi mendengar atau repost lagu-lagu yang berunsur kesyirikan, seseorang tidak dihukumakn murtad atau syirik jika dengar atau repost lagu tersebut dalam keadaan tidak terima dan tidak reda dengan kesyirikan tersebut. Walaupun begitu, adalah sangat tidak digalakkan bahkan boleh membawa kepada haram jika mendengar lagu-lagu sebegini dan sebaiknya dihindarkan.
3. Solat masih sah kerana ia perkara yang tidak boleh dielakkan dan rambut yang gugur tidak termasuk perkara yang membatalkan solat.
4.Seperti jawapan no.2, murtad atau syirik adalah apabila berpegang dan percaya kepada perkara-perkara syirik. Segala ucapan yang dinyatakan sezara zahir tidak mengandungi sebarang unsur syirik. Oleh itu, Puan tidak dihukumkan jatuh murtad.
5. Menerima sesuatu patung permainan tidak menyebabkan seseorang murtad selagi mana tidak ada sebarang kepercayaan kepada patung tersebut. Walaupun patung itu dijual pada hari valentine, menerima patung tersebut tidak dikira murtad dan tidak berdosa kerana penerima menerimanya hanya sebagai suatu pemberian dan ia tiada kaitan langsung dengan valentine. Patung yang diterima tersebut hendaklah digunakan sebagai alatan permainan atau jika tidak mahu menggunakannya, maka boleh serah kepada kana-kanak untuk dijadikan sebagai patung mainan.
6. Tasyabbuh atau menyerupai suatu kaum tidak dikira murtad secara mutlak. Perkara ini perlu dilihat pada pelbagai sudut. Sekiranya menyerupai sesuatu kaum hanya pada perkara adat sahaja, maka itu adalah diharuskan. Sekiranya menyerupai pada perkara-perkara yang berkaitan dengan agama sesuatu kaum, maka ia adalah haram dan boleh membawa kepada permasalahan akidah. Sekiranya dengan sengaja menyerupai pada perkara yang berkaitan dengan agama sesuatu kaum dengan tujuan memperlekeh dan merendahkan agama Islam, maka ia boleh dihukum murtad.
Sekian, terima kasih.