BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanya berkenaan hukum penglibatan orang Islam dalam projek pembinaan kilang arak.

Untuk makluman, saya bekerja di sebuah syarikat pembinaan milik keluarga bukan Islam. Pada masa ini, syarikat kami kekurangan projek aktif, dan salah satu tender yang sedang diusahakan ialah projek pembinaan kilang arak.

Buat masa ini, kami masih di peringkat awal iaitu penyediaan dokumen tender sahaja (belum melibatkan kerja pembinaan).

Soalan saya:

  1. Adakah haram bagi pekerja Muslim untuk terlibat dalam penyediaan dokumentasi tender bagi projek tersebut, walaupun tidak terlibat secara langsung dalam pembinaan kilang arak?
  2. Sekiranya syarikat berjaya memperoleh projek ini, adakah sumber pendapatan yang diterima daripada projek tersebut dikira haram?

Untuk makluman juga, pihak syarikat sedia maklum bahawa sekiranya projek ini berjaya diperoleh, pekerja Muslim tidak akan terlibat dalam kerja-kerja pembinaan, sebaliknya hanya terlibat dalam kerja dokumentasi sahaja.

Namun begitu, terdapat pekerja Muslim yang sukar mendapatkan pekerjaan lain buat masa ini.

Mohon pencerahan daripada pihak tuan/puan.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Umat Islam adalah dilarang untuk terlibat dengan segala aktiviti yang melibatkan arak. Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي ‌الخَمْرِ ‌عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.

Merujuk kepada hadis ini, penglibatan puan dalam penyediaan dokumentasi tender bagi projek pembinaan kilang arak dilihat boleh terlibat secara langsung dalam menjayakan projek ini walaupun tidak terlibat secara langsung dalam projek pembinaan kilang. Hal ini kerana, peranan ini dianggap sebagai salah satu bentuk التعاون على المعصية (bantuan terhadap maksiat) dan ia merupakan suatu perbuatan yang dilarang dalam Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 2:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Manakala sumber pendapatan yang diperoleh jika keuntungan projek merupakan hasil pendapatan syarikat, ia merupakan wang tidak patuh Syariah, yang dilihat bercampur antara wang haram dan tidak haram. Puan juga boleh membuat pilihan untuk tidak terlibat dalam dokumentasi tender projek ini sebagai suatu cara mengelak daripada terlibat dengan perkara haram. 

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 6

message user image