BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t Tuan

Soalan: Bolehkah saya nak buat korban sempena Aidiladha untuk anak perempuan saya yang sudah baligh (umur 17 tahun) menggunakan duit saya sendiri?

-utk makluman, ibadah akikah untuk anak saya (yang nak dibuatkan korban) ini & semua anak² sudah dilaksanakan selepas kelahiran mereka.

-sekiranya boleh, bagaimana tatacara nya (niat dsb) semasa hendak melaksanakan ibadah korban untuk anak saya ini nanti (siapa yang kena berniat, dsb).

-Dan sekiranya boleh, saya bercadang nak buat untuk anak² lain secara giliran setiap tahun (termasuk saya & isteri). Sekian, Wasallam.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد


Merujuk kepada persoalan yang diajukan, seorang bapa dibenarkan melakukan ibadah korban untuk anak perempuannya yang telah baligh menggunakan duitnya sendiri, bahkan hukumnya harus dan sah selagi memenuhi syarat-syarat ibadah korban. Tambahan pula, akikah yang telah dilaksanakan sebelum ini tidak menghalang atau menggantikan ibadah korban kerana kedua-duanya ialah ibadah yang berbeza dari sudut tujuan dan tuntutannya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Kawthar ayat 2 iaitu:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.

Ayat ini menjadi dalil pensyariatan ibadah korban sebagai amalan yang besar di sisi Allah SWT, khususnya pada hari-hari I'duladha. Ibadah korban merupakan syiar Islam yang dianjurkan bagi mereka yang berkemampuan sebagai tanda syukur dan pendekatan diri kepada Allah SWT. Dalam mazhab Syafi‘i, korban adalah sunat muakkad bagi individu yang mampu. Seseorang juga boleh melakukan korban bagi pihak ahli keluarganya. Hal ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW daripada Saidatina Aisyah R.Anha:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ أَمَرَ بِكَبْشٍ أَقْرَنَ يَطَأُ فِي سَوَادٍ وَيَبْرُكُ فِي سَوَادٍ وَيَنْظُرُ فِي سَوَادٍ، فَأُتِيَ بِهِ لِيُضَحِّيَ بِهِ، فَقَالَ لَهَا: يَا عَائِشَةُ، هَلُمِّي الْمُدْيَةَ، ثُمَّ قَالَ: اشْحَذِيهَا بِحَجَرٍ، فَفَعَلَتْ، ثُمَّ أَخَذَهَا وَأَخَذَ الْكَبْشَ فَأَضْجَعَهُ، ثُمَّ ذَبَحَهُ، ثُمَّ قَالَ:

بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: ...Dengan nama Allah. Ya Allah, terimalah daripada Muhammad, keluarga Muhammad dan umat Muhammad. (Riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa dibolehkan seseorang melakukan korban untuk dirinya dan ahli keluarganya, termasuk anak-anaknya. Berkenaan anak yang sudah baligh, jika bapa menggunakan duit sendiri untuk membuat korban atas nama anak, maka hukumnya harus dan sah dengan syarat mendapat mengizinkan anak kerana korban tersebut dinisbahkan atas namanya.
Dari sudut tatacara dan niat pula, niat korban mesti dilaksanakan oleh anak tersebut.

 والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 15

message user image