BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang makhraj dalam solat. Saya diberitahu yang makhraj, terutamanya bacaan Al-Fatihah, sangat penting dalam solat. Jika ada kesalahan dalam bacaan solat, solat itu akan terbatal, atau tidak diterima Allah SWT. Saya mengaku yang saya tidak mahir dalam membaca Al-Quran, cuma kenal huruf dan tajwid mudah seperti baris atas/bawah/depan dan huruf mati/sabdu. Saya cuba sedaya upaya untuk membetulkan bacaan dengan mendengar bacaan orang lain, seperti di Youtube. 

Tetapi dalam solat, saya rasa bagai bacaan saya langsung tiada yang tepat. Saya baca ayat-ayat dalam surah Al-Fatihah berulang-ulang kali, kadang-kadang sampai kering tekak dan berpeluh dahi, lebih-lebih lagi apabila saya baca dengan suara perlahan. Saya sangat takut yang solat saya akan terbatal atau tidak diterima Allah. Saya lebih yakin kalau saya membaca dengan perlahan dan dengan suara yang kuat, tapi saya tak mahu mengganggu orang lain, terutamanya ketika berjemaah. Kadang-kadang solat empat-rakaat saya boleh sampai memerlukan 15 minit atau lebih. Adakah betul yang tiada sedikit pun ruang kemaafan dalam bacaan solat? Contoh, 2 ayat terakhir dalam surah Al-Fatihah, saya sangat risau tentang cara sebutan huruf ghain, ain dan sod, sampai boleh berulang-ulang 4 atau 5 kali sebelum saya yakin bacaan saya betul.

Saya sentiasa berasa yang tiada solat yang saya lakukan akan diterima, dan ini membuatkan saya rasa tertekan. Lebih-lebih lagi saya terbaca satu hadis yang mengatakan jika solat seseorang itu tidak sempurna (termasuk dalam hal makhraj), di akhirat nanti semua solatnya akan dilempar ke mukanya seperti kain buruk.  Saya minta pencerahan mengenai isu makhraj ini. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Membaca surah al-fatihah adalah salah satu rukun solat. Jadi wajib untuk kita membacanya berserta makhraj dan tajwid yang betul. Wajib untuk kita menjaga bacaan surah al-fatihah pada setiap huruf agar tidak berkurang atau tertukar. Wajib juga kita jaga bacaan syaddah dan juga panjang pendek harakat surah al-fatihah serta menyebut huruf menepati sifat makhrajnya.

Kesalahan tajwid seperti bacaan mad (panjang dan pendek), ghunnah (dengung), serta kesalahan kecil dalam makhraj huruf tidak membatalkan solat. Kesalahan ini dikenali sebagai Lahn al-Khafiy iaitu kesalahan yang tersembunyi. Adapun kesalahan bacaan yang boleh membatalkan solat ialah kesalahan yang mengubah makna ayat, seperti menukar baris (harakat), menukar huruf, menambah huruf, atau membaca huruf yang sepatutnya bertasydid tanpa tasydid dan sebaliknya. Kesalahan ini dikenali sebagai Lahn al-Jaliy iaitu kesalahan yang jelas.

Merujuk soalan yang diajukan, solat tuan tidak batal sekiranya kesalahan tajwid yang berlaku hanyalah melibatkan Lahn al-Khafiy dan tidak sampai mengubah makna bacaan. Namun demikian, bagi memastikan bacaan surah al-fatihah menepati tajwid yang betul serta menambah keyakinan dalam melaksanakan solat, tuan disarankan untuk mempelajari dan memperbaiki bacaan melalui bimbingan guru yang berkelayakan agar sebutan dan bacaan dapat diperbetulkan secara berperingkat dari semasa ke semasa.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 

 

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 42

message user image