BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Saya seorang suami berumur 30 tahun. Isteri saya juga berumur 30 tahun. Kami dah berkahwin hampir 5 tahun. Saya berasal dari Kedah dan isteri berasal dari Johor. Masalah yang dihadapi ialah isteri tidak menghormati saya sebagai suami. Baik dari segi percakapan dan perbuatan. Malah cara layanan isteri pada Ibu Bapanya dengan saya jauh bezanya. Dan isteri lebih mementingkan keluarganya. Keluarganya juga terutama ibu mertua saya selalu memcampuri urusan rumah tangga kami. Baru-baru ini saya telah dapat tawaran kerja di kampung saya iaitu di Kedah. Jadi kami sekeluarga terpaksa berpindah ke Kedah. Keputusan berpindah ini mendapat tentangan hebat dari isteri saya dan ibu mertua saya. Sehinggakan ibu mertua saya mengatakan tersilap pilih menantu pada saya semata-mata kerana saya terpaksa bawa anak perempuannya jauh dari dia. Saya berkecil hati.Tapi isteri terpaksa ikut juga. Sekarang kami menumpang sementara waktu di rumah Ibu bapa saya kerana keadaan kewangan saya masih belum cukup untuk menyewa rumah. Baru-baru ini saya dan isteri bertengkar akibat dia memberi saya kata dua samada mahu pindah ke rumah sendiri bulan depan atau dia balik tinggal bersama ibu bapanya di Johor sampai saya pindah ke rumah sewa. Saya meminta dia sabar sebab keadaan masih belum stabil. Tapi isteri tidak mahu sabar lagi dan marah pada saya akibat katanya tidak tahan tinggal sebumbung dengan mertua. Saya akui ibu kandung saya cerewet dan agak kuat membebel. Tapi hatinya baik pada menantu dan cucu cucunya. Isteri memarahi saya dengan kasar dan saya juga mula hilang sabar. Saya mengatakan pada isteri saya yang dia telah derhaka pada saya. Isteri minta saya lepaskan dia tapi saya enggan. Saya beritahu pada dia saya tidak akan redha dan memaafkan dia sehinggalah dia sendiri mohon ampun dan cium tangan saya. Saya juga kata padanya isteri derhaka dan tidak layak terima nafkah dari saya serta saya haramkan semuanya pada dia sehingga dia mohon maaf. Tapi sudah hampir seminggu dia masih tidak minta maaf dan kami tidak bertegur sapa sehingga ibu bapa saya perasaan dengan keadaan kami. Saya masih menunggu permohonan maaf dari dia. Tapi apa yang harus lakukan sekiranya dia terus berdegil. Saya tak mahu dia terus menerus berdosa. Bantu saya


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, dalam perkara ini tuan sebagai suami mesti memainkan peranan dan tanggungjawab dengan sebaiknya. Manakala isteri pula wajib patuh dan taat kepada suaminya. Perintah taat suami adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda : لو كنت ﺁمرا احدا ان يسجد لأحد لأمرت المرأة ان تسجد لزوجها Maksudnya : “Jika aku boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.” (Riwayat at-Tirmizi) Dalam pada mendidik isteri, suami tidak boleh egokan dirinya, bahkan tunjukkan contoh dan tauladan yang baik dalam rumahtangga. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.ha, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Riwayat Tirmizi) Urusan suami isteri tidak wajar berlaku campurtangan ibu bapa bagi menentukan hala tuju kehidupan rumahtangga anak masing-masing. Manalaka suami pula wajib menyediakan tempat tinggal isteri yang berasingan daripada ibu bapa agar tidak timbul permasalahan yang lebih besar. Jika suami tidak mahu isterinya menanggung dosa yang berpanjangan, memaafkan itu lebih baik, hati menjadi lebih tenang dan menambahkan rezeki. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;” (Ali-‘Imran : 133 – 134) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 291

message user image