Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,maaf nak tanya kalau dulu kita ada pakai sesuatu product tanpa tengok ingredient dan selepas kita sesuatu ketika rasa ragu² saya dah tak pakai product tu..tapi adakah patut saya cari lebih mengenai ingredients dalam sesuatu product tersebut?
Jawapan
Daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat Bukhari)
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 168:
Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik
Kewajipan menggunakan produk halal adalah tuntutan asas dalam Islam untuk memelihara kesucian rohani dan fizikal. Ia bukan sahaja terhad kepada pemakanan dan minuman, tetapi merangkumi barangan gunaan harian seperti kosmetik, ubat-ubatan, dan kelengkapan diri bagi memastikan ia bebas daripada sebarang unsur yang dilarang (haram). Namun, tidak wajib untuk tuan/ puan menyiasat secara terperinci setiap bahan ramuan sesuatu produk yang pernah dipakai sebelum ini, terutama jika pada waktu itu tuan/ puan pernah menggunakannya dalam keadaan biasa tanpa tahu atau tanpa ada bukti jelas sesuatu yang haram atau najis.
Memadai tuan/ puan bersandarkan kepada persijilan halal yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti yang mensijilkan halal. Pensijilan halal yang sah bukan sahaja dapat memastikan sesuatu produk itu bebas daripada bahan-bahan haram, tetapi juga menjamin keseluruhan proses pengendalian dan penyediaan produk adalah bersih dan selamat. Oleh itu, memadai tuan mencari produk yang mempunyai sijil halal yang sah tanpa perlu menyelidiki secara mendalam. Sekiranya tuan/ puan ragu-ragu, maka tinggalkanlah kerana masih terdapat produk-produk di luar sana yang boleh digunakan dengan lebih yakin kesuciannya.
Sekian, terima kasih