Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apa hukum kalau suami memaksa isteri untuk pulang ke kampungnya . Sedangkan ibu nya tak suka pada saya, kakak nya pun suka cakap yang bukan bukan pasal saya , suka fitnah saya . Berdosa tak kalau saya taknak ikut suami pulang ke kampungnya . Terima ksih .
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, mematuhi segala arahan dan kehendak seorang suami adalah suatu kewajipan selama mana arahan tersebut tidak bertentangan dengan ajaran dan hukum syarak. Isteri perlu menurut kehendak suami untuk pulang ke kampung suami. Walaupun disedari bahawa ibu mertua dan kakak kepada suami tidak menyukai puan dan berbuat tidak baik kepada puan, mudah-mudahan tindakan puan mematuhi kehendak suami akan diberi sebaik-baik pahala daripada Allah SWT atas sebab ketaatan yang puan lakukan kepada suami. Ambil peluang untuk tunjukkan akhlak yang baik. Jangan dibalas kejahatan dengan kejahatan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.