Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Yang Berbahagia Tuan/Puan,
Saya dengan segala hormatnya ingin memohon pandangan dan penjelasan daripada pihak Tuan/Puan berkaitan satu aktiviti yang bercadang untuk diadakan dalam program keluarga kami.
Untuk makluman pihak Tuan/Puan, kami akan mengadakan satu program “family day” yang melibatkan kira-kira 50 orang ahli keluarga. Antara cadangan aktiviti yang dibincangkan ialah permainan “secret santa”, iaitu setiap peserta akan membeli hadiah untuk seorang peserta lain secara rawak tanpa pengetahuan penerima.
Sehubungan dengan itu, saya ingin memohon penjelasan mengenai perkara berikut:
1. Apakah hukum pelaksanaan aktiviti “secret santa” dalam Islam?
2. Sekiranya aktiviti tersebut tidak dibenarkan, adakah konsep pertukaran hadiah (gift exchange) dalam kalangan ahli keluarga dibolehkan?
3. Adakah dibenarkan untuk menetapkan peraturan tertentu seperti menetapkan nilai harga hadiah (contohnya had maksimum tertentu) bagi memastikan keadilan antara peserta?
4. Perlukah jenis atau bentuk hadiah dinyatakan terlebih dahulu bagi mengelakkan unsur ketidakpastian atau ketidakadilan?
Segala penjelasan dan pandangan daripada pihak Tuan/Puan amatlah dihargai bagi memastikan program yang dirancang ini selaras dengan tuntutan syarak.
Sekian, terima kasih atas perhatian dan kerjasama pihak Tuan/Puan.
Yang benar,
[Ain Nurdinah Binti Amirfuddin]
Jawapan
Hukum permainan seperti secret santa yang melibatkan peserta bertukar hadiah sama suka adalah diharuskan selagi tidak mengandungi unsur perjudian, pertaruhan, pembaziran, penghinaan atau perkara yang bercanggah dengan syarak. Oleh itu, hendaklah permainan ini didasari atas semangat persaudaraan dan kasih sayang dengan cara memberi hadiah antara satu sama lain. Pemberi hendaklah ikhlas memberi hadiah atas kapasiti dan kemampuannya. Penerima pula perlulah terima dengan hati yang terbuka apa sahaja hadiah yang diterima.Menetapkan nilai harga hadiah adalah dibenarkan dan bahkan digalakkan bagi mengelakkan jurang yang terlalu besar antara hadiah peserta.
Sekian, terima kasih.