Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum , saya nak bertanya berdosa kah saya kalau bersikap tidak sopan kepada ayah yang langsung tak ambil tahu soal keluarga ? Contohnya send mesej whatsapp "kami doakan ayah tak tenang didunia dan diakhirat sebab buat kami macam ni" , ayah tinggal di negeri lain , tak tinggal dengan kami , ayah pernah memperlakukan mak secara buruk dan mak selalu pesan kalau "ayah sakit nanti , jangan jaga dia , ingat apa yang dia buat dekat kita"
Jawapan
Kehidupan di dunia penuh dengan ujian seperti yang dijanjikan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 155:
Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Berbuat kepada kepada ibu bapa termasuk dalam perkara fardhu ain. Terdapat banyak ayat al-Quran yang melarang untuk menyakiti ibu bapa serta menggalakkan berbuat baik kepada mereka walaupun mereka mengajak kepada perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Firman Alah SWT dalam surah Luqman ayat 15:
Maksudnya: Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh).
Berbuat baik kepada mereka tidak bermaksud mengikuti setiap kata-kata mereka walaupun bercanggah dengan ajaran Islam, tapi ia bermaksud sebagai anak kita perlu berbuat baik kepada mereka dan tidak menyakiti mereka walaupun kita tidak mengikuti kata-kata mereka dalam hal seperti ini.
Abu Hurairah RA seorang sahabat Nabi SAW pernah menceritakan datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata:
Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai kaum kerabat yang aku hubungkan silaturahim dengan mereka, tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka, tetapi mereka berbuat buruk kepadaku. Aku bersabar dan berlemah lembut terhadap mereka, tetapi mereka berlaku jahil dan kasar terhadapku. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Jika benar seperti yang engkau katakan, maka seolah-olah engkau menyuapkan kepada mereka abu yang panas. Akan sentiasa ada penolong daripada Allah bersamamu untuk mengatasi mereka selama engkau terus bersikap demikian. (Riwayat Muslim)
Perbuatan ayah puan terhadap ibu dan adik-beradik puan turut dilarang dalam Islam dan menggambarkan keperibadian seorang Muslim. Namun begitu, menyakiti ayah puan adalah perbuatan yang berbeza dan termasuk dalam perbuatan menyakitinya. Justeru, dalam situasi ini adalah lebih baik memilih untuk berdiam dan tidak menyebut sebarang kata-kata yang boleh menyakiti hati ayah puan.
Sekian, terima kasih.