Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, ketika solat saya sering juga waswas jika sudah duduk antara dua sujud. Oleh itu, saya pilih untuk tidak menghiraukan perasaan tersebut kerana berlaku setiap kali solat. Persoalannya, pada rakaat kedua apabila sudah selesai bacaan tahiyat awal dan semasa proses saya hendak bangun saya terlintas fikiran saya belum duduk antara dua sujud. Pada ketika ini saya ragu2 jika saya sudah atau belum dan pada awalnya pilih untuk tidak menghiraukan perasaan tersebut, cumanya saya tidak yakin ketika itu yang saya sudah. Oleh itu, apabila selesai rakaat ketiga solat asar saya, saya piluh untuk tambah lagi satu rakaat selepas rakaat ke4. Adakah tindakan yang saya buat itu dibenarkan? Atau perlukah saya ganti semula solat. Setahu saya jika tidak duduk antara dua sujud perlu kembali ke kedudukan itu, tetapi sebab saya dalam keadaan tidak pasti saya tambah rakaat. Terima kasih.
Jawapan
Antara rukun yang perlu ada pada setiap solat ialah tertib. Duduk di antara dua sujud merupakan sebahagian daripada rukun solat. Berdasarkan situasi yang dinyatakan, seseorang yang terlupa melalukan duduk antara dua sujud pada asalnya perlu segera kembali kepada keadaan tersebut selagi mana dia masih belum berada pada keadaan duduk antara dua sujud bagi rakaat seterusnya. Lewat kembali kepada rukun tersebut boleh menyebabkan solat terbatal sekiranya dilakukan dengan sengaja. Jika dia teringat bahawa dia masih belum melakukannya dan dia sudah memasuki keadaan duduk antara dua sujud bagi rakaat seterusnya, maka dia perlu menambah satu rakaat bagi menyempurnakan rukun yang sudah terlepas. Di samping itu, disunatkan sujud sahwi bagi situasi ini.
Adapun bagi seseorang yang sering mengalami waswas dalam ibadat, maka ulama menetapkan bahawa dia tidak perlu mengambil endah tentang waswas tersebut. Diriwatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Syaitan akan datang kepada salah seorang daripada kamu lalu berkata: 'Siapakah yang menciptakan ini? Siapakah yang menciptakan itu?' Sehingga dia berkata: 'Siapakah yang menciptakan Tuhanmu?' Apabila dia sampai kepada persoalan itu, maka hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah dan berhenti (daripada melayan fikiran tersebut). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Walaupun hadis ini membicarakan tentang waswas dalam akidah, namun ulama turut mengguna pakai hadis ini bagi masalah waswas dalam ibadah. Justeru, puan perlu mengabaikan waswas tersebut dan meneruskan solat seperti biasa.
Sekian, terima kasih.