Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: As-salamu `alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. Mohon jasa baik pihak tuan mengesahkan Jawapan Siri 350/2015 yang dilampirkan di sini. Adakah foto makhluk bernyawa boleh dipaparkan di ruang-ruang solat di masjid, termasuk pada skrin multimedia, yang kini banyak digunapakai oleh masjid untuk memaklumkan waktu azan dan iqamah? Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, antara gambar yang dibolehkan adalah gambar pemandangan alam semulajadi seperti benda yang tidak bergerak. Contohnya gambar tumbuh-tumbuhan, pepohon, lautan, gunung-ganang, matahari, bulan dan bintang-bintang. Bagi gambar yang hendak dipaparkan dalam paparan multimedia, pihak masjid perlu memilih gambar yang baik seperti yang disebutkan di atas, bermanfaat dan tidak menganggu jemaah dalam melaksanakan ibadah. Adapun, gambar makhluk bernyawa hendaklah dielakkan. Namun, jika ada keperluan tidak mengapa, tetapi pastikan tidak bersifat kekal dan dalam keadaan patuh syariah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.