BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan, Alhamdulillah saya isteri dan isteri mendapat perkhabaran gembira bahawa isteri saya disahkan mengandung. Semuanya berjalan lancar sehingga pada suatu hari kami bertengkar sehingga isteri meminta untuk dilepaskan Dan dengan spontan saya pun menjawab "tunggu budak tu keluar", perkataan saya hanya terhenti disitu sahaja. Ketika situasi itu kami berdua tergamam dan tertanya tanya pada diri sendiri adakah akan jatuh talak sesudah isteri saya bersalin nanti. Saya ada merujuk dalam YouTube berkenaan ceramah Ustaz Azhar Idrus mengenai situasi yang seakan sama Dan Ustaz menyatakan tidak jatuh talak untuk situasi tersebut. Sehingga sekarang saya masih keliru, minta Tuan/Puan menjawab persoalan dan kekeliruan saya dan apa yang saya perlu buat? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan tuan :

Berdasarkan lafaz yang tuan nyatakan, pada zahirnya ia bukan lafaz talak sarih (jelas), dan juga bukan lafaz talak kinayah yang sempurna. Hal ini kerana lafaz tersebut tidak mengandungi sebarang perkataan yang secara jelas atau secara kebiasaan digunakan untuk menunjukkan perceraian seperti “cerai”, “talak”, “berpisah”, “aku lepaskan engkau” atau lafaz-lafaz yang seumpamanya.

Sebaliknya, lafaz “tunggu budak tu keluar” lebih merupakan suatu ungkapan yang tergantung dan tidak lengkap dari sudut maknanya. Ia tidak mengandungi pernyataan bahawa talak akan berlaku selepas kelahiran anak, dan tidak juga mengandungi lafaz talak yang dikaitkan dengan suatu syarat tertentu. Bahkan, lafaz tersebut boleh ditafsirkan dalam beberapa kemungkinan, antaranya: menangguhkan perbincangan mengenai perceraian sehingga selepas kelahiran anak, menyatakan hasrat untuk membuat keputusan pada masa akan datang, atau sekadar respons spontan yang terhenti tanpa sempat membentuk suatu ungkapan yang lengkap dan jelas.

Oleh yang demikian, berdasarkan fakta yang dinyatakan iaitu apabila isteri meminta untuk dilepaskan lalu tuan menjawab “tunggu budak tu keluar” dan percakapan itu terhenti setakat lafaz tersebut sahaja maka pada zahirnya tidak terdapat lafaz talak yang menunjukkan berlakunya perceraian ketika itu, mahupun lafaz yang secara jelas menetapkan perceraian akan berlaku selepas kelahiran anak.

Walau bagaimanapun, penentuan hukum secara muktamad dalam isu talak hendaklah dibuat setelah meneliti lafaz sebenar yang diucapkan, konteks percakapan secara keseluruhan, serta niat suami ketika melafazkannya. Oleh itu, perkara ini sewajarnya dirujuk dengan kadar segera kepada pihak berautoriti seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa, atau Pejabat Agama Islam negeri bagi mendapatkan penelitian dan penentuan hukum yang lebih tepat berdasarkan fakta sebenar kes.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 9

message user image